Langkah-Langkah Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Penulisan karangan Bahasa Melayu mempunyai pelbagai tema yang berpotensi untuk dijadikan soalan kepada para pelajar. Selain latihan yang diberikan oleh guru-guru, anda digalakkan untuk membuat latihan tambahan supaya dapat membaca dan mengetahui jenis-jenis karangan yang mempunyai tema yang berbeza. Oleh itu, di bawah dikongsikan contoh karangan Langkah-Langkah Mengekalkan Bangunan Bersejarah di Malaysia untuk rujukan semua.

Negara kita mempunyai banyak bangunan bersejarah daripada kubu peninggalan jajahan dahulu, tempat ibadat yang menenangkan dan monumen-monumen yang penting menandakan sesebuah peristiwa. Kewujudan pelbagai jenis bangunan bersejarah ini telah menjadi antara daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke dalam negara dan melawati mercu tanda bersejarah di Malaysia.

contoh karangan langkah mengekalkan bangunan bersejarah

Contoh Karangan Langkah-Langkah Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Ikuti perkongsian berkaitan contoh karangan bertajuk Cara Memelihara Bangunan Bersejarah yang diihuraikan kepada beberapa perenggan. Anda boleh merujuk isi-isi penting yang dikongsikan dan menulis mengikut huraian masing-masing yang lebih menarik dan menepati kehendak soalan.

Pendahuluan

Sejak mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia telah mencapai pelbagai bentuk kemajuan dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan. Salah satu kemajuan yang boleh dibanggakan adalah pembangunan infrastruktur bertaraf antarabangsa seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Bangunan yang telah merancakkan ekonomi negara serta Asia Tenggara ini menjadi lambang bahawa kita mampu untuk membina sebuah ikon yang tersemat di pandangan khalayak dunia.

Sehingga hari ini, Kuala Lumpur khususnya telah menjadi kawasan penumpuan binaan bangunan-bangunan pencakar langit. Pembinaan menara Tun Razak Exchange 106 dan menara Merdeka 118 menjadikan pemandangan langit yang lebih epik dan tersergam dengan modenisasi. Namun begitu, bangunan-bangunan bersejarah yang tidak lagi digunakan telah dilupakan seperti Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Sebagai warganegara yang menghargai sejarah, kita perlu mengetahui cara-cara memelihara atau memulihara bangunan bersejarah supaya ia tidak dirobohkan dan dilupakan begitu sahaja.

Isi 1 – Mewartakan secara rasmi sebagai bangunan bersejarah

Langkah pertama dalam mengekalkan bangunan bersejarah adalah dengan mewartakan secara rasmi bangunan tersebut sebagai bangunan bersejarah. Agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu bekerjasama dalam mengenal pasti dan seterusnya mewartakan bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat dalam kawasan masing-masing. Melalui kerjasama ini juga, bangunan yang mempunyai elemen atau sentimen yang bermakna kepada masyarakat setempat juga berpotensi untuk dijadikan bangunan bersejarah.

Dengan pewartaan rasmi, pembangunan yang berlaku di kawasan sekitar akan memastikan bangunan bersejarah ini tidak terganggu dan jika berlaku sebarang kerosakan, pihak berkuasa seharusnya memberikan kompaun atau denda kepada pelaku. Pewartaan secara rasmi juga akan membuka ruang kepada agensi antarabangsa yang menyelia kawasan bersejarah seperti UNESCO untuk mengiktiraf sesebuah bangunan tersebut dan menerima insentif tertentu.

Isi 2 – Memelihara dan memulihara struktur asal bangunan tersebut

Bangunan bersejarah juga perlu dipelihara atau dipulihara strukturnya agar terjamin kukuh sehingga suatu tempoh masa yang lama. Selaras dengan usaha mewartakan bangunan bersejarah oleh agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa, pastinya terdapat peruntukkan untuk bangunan bersejarah ini. Mereka yang bertanggungjawab menerima peruntukkan ini perlu menjalankan amanah dengan baik dalam memastikan infrastruktur bangunan dipelihara sebaiknya.

Sekiranya kos untuk melantik kontraktor atau firma arkitek memakan kos yang tinggi. Pihak yang berkaitan boleh bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Dengan sumber yang ada, pelajar di universiti ini dapat didedahkan kepada projek sebenar dan melakukan satu sumbangan yang berharga bukan sahaja untuk bangunan bersejarah tersebut tetapi juga untuk diri mereka. Contoh terbaik adalah pemeliharaan Istana Melaka dan Kubu Pertahanan A’Famosa yang menjadi tumpuan pelancongan utama di negeri Melaka.

Isi 3 – Dijadikan sebagai muzium

Kaedah lain untuk mengekalkan bangunan bersejarah di dalam negara kita adalah dengan menjadikan bangunan tersebut sebagai muzium. Antara langkah untuk mendokumentasikan sejarah kita, adalah dengan mengekalkan bangunan yang menjadi infrastruktur penting kepada peristiwa yang berlaku. Jika kita melihat sesebuah gambar bersejarah seperti hari kemerdekaan pada tahun 1957 yang berlaku di Stadium Merdeka. Alangkah baiknya jika kita mampu melihat dan melawat stadium tersebut dalam bentuk yang sama seperti yang difilemkan dahulu.

Apabila bangunan bersejarah telah diubah menjadi muzium, segala aset seperti gambar dan alat-alat yang berkaitan dengan bangunan tersebut boleh dipamerkan kepada khalayak umum. Kunjungan yang diterima daripada pelancong boleh menjadi sumber kewangan untuk menyelenggara pemeliharaan bangunan tersebut secara langsung. Ibarat satu nasihat daripada George Santayana, mereka yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya. Justeru, penting untuk kita mengekalkan bangunan bersejarah sebagai muzium demi memelihara sejarah yang kita miliki.

Isi 4 – Mengubah fungsi bangunan supaya dapat digunakan atau dimanfaatkan oleh masyarakat umum

Pada masa yang sama, bangunan bersejarah juga wajar dikekalkan dengan cara mengubah fungsi bangunan tersebut supaya boleh digunakan oleh masyarakat pada hari ini. Langkah ini adalah salah satu inisiatif untuk mengekalkan fungsi bangunan tersebut supaya tidak dibiarkan usang tanpa digunakan oleh sesiapa. Tamsilnya, Depot Sentul yang merupakan depot kereta api yang lama telah dibina dan kini diambil alih oleh firma swasta dan mengubah fungsinya.  Perubahan fungsi daripada ruang bengkel kereta api menjadi ruang pameran, jualan atau persembahan. Ianya secara langsung memberikan satu kehidupan baru kepada bangunan yang bersejarah ini.

Gabungan elemen industri dan estetik terkini menjadikan bangunan yang usang diterima baik oleh masyarakat kini sebagai kawasan utama untuk melangsungkan sesebuah majlis. Perubahan fungsi bangunan lama ini sebenarnya telah lama dilaksanakan oleh masyarakat di Eropah. Maka pihak berkuasa di negara kita hendaklah belajar dan mengasimilasikan perkara yang sama di negara ini. Bukan hanya menyerahkan kepada pihak pemaju yang menawarkan wang yang banyak dan kemudian memusnahkan bangunan bersejarah menjadi kawasan pembangunan yang tidak mempunyai sebarang nilai berharga untuk negara.

Isi 5 – Amanahkan kepada pertubuhan yang berkaitan

Akhir sekali, langkah untuk mengekalkan bangunan bersejarah adalah dengan menyerahkan bangunan tersebut kepada pertubuhan yang berkaitan. Sebagai contoh, bangunan seperti istana lama boleh diamanahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia atau Tourism Malaysia. Dua agensi ini boleh bertindak di bawah peruntukkan kerajaan. Untuk memelihara bangunan bersejarah yang dimiliki dan dijadikan sebagai pusat tumpuan pelancongan di daerah atau negeri terbabit.

Selain itu, bangunan bersejarah juga boleh diamanahkan kepada syarikat-syarikat utama negara sebagai tanggungjawab sosial korporat terhadap negara. Misalnya, Stadium Merdeka kini dibawah pengendalian Permodalan Nasional Berhad. Yang telah membuat pembangunan di sekitar kawasan stadium dan ditugaskan untuk memelihara bangunan yang ikonik buat tanah air kita. Dengan kemampuan kewangan yang lebih baik, pemeliharaan dan fungsi bangunan bersejarah tersebut boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan masyarakat umum pada hari ini sama seperti apa yang dimanfaatkan oleh generasi sebelum ini.

Penutup

Konklusinya, terdapat banyak langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengekalkan bangunan bersejarah khususnya di negara ini. Sesungguhnya, setiap bangunan yang dibina pada masa dahulu mempunyai objektif dan nilai yang tersimpan. Dan ianya mampu menjadi khazanah buat negara kita. Pembangunan infrastruktur baharu yang mencerminkan modenisasi adalah baik untuk pertumbuhan ekonomi negara. Tetapi pemeliharaan sejarah seperti bangunan yang ikonik akan menambah nilai kepada budaya dan khazanah tanah air ini. Semoga pemimpin negara mengutamakan pembangunan lestari di amalkan di negara kita iaitu keseimbangan pembangunan baharu serta pemeliharaan bangunan lama dijalankan secara serentak.

Rel : mempunyai nilai, sejarah negara, kota a famosa, bangunan sultan abdul samad, menjadikan bangunan bersejarah, sumber pendapatan negara, warisan dunia, membawa anak anak, industri pelancongan, tempat tempat bersejarah,

Tinggalkan Balasan