Perhatian buat rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan sama ada secara konvensional atau atas talian. Anda perlu mendaftarkan perniagaan anda dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Bagaimanakah cara daftar SSM online (pendaftaran perniagaan baharu) ? Berikut dikongsikan panduan mudah dan ringkas bagi para peniaga untuk membuat pendaftaran perniagaan di SSM secara online.
Mengikut peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956), perniagaan adalah merangkumi setiap bentuk pekerjaan, profesion, perdagangan (trade), pertukangan atau apa-apa aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan bagi maksud-maksud mendapat keuntungan, tetapi tidak meliputi mana-mana penggajian atau jawatan atau apa-apa pengusahaan amal atau apa-apa kerja yang dinyatakan dalam jadual di bawah peruntukan APP 1956.
Panduan Untuk Mendaftar Perniagaan Secara Online (ezbiz SSM)
Semua jenis perniagaan yang dinyatakan di atas termasuklah perniagaan secara atas talian (online) perlulah didaftarkan di bawah SSM.
Hanya perniagaan yang beroperasi di Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan) boleh didaftarkan di bawah APP 1956. Bentuk perniagaan yang dijalankan pula adalah seperti berikut:
1. Perniagaan Milik Tunggal : Perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik tunggal.
2. Perniagaan Perkongsian : Perniagaan yang dimiliki oleh paling kurang dua (2) orang dan tidak melebihi daripada dua puluh (20) orang rakan kongsi.
Untuk makluman semua, permohonan pendaftaran perniagaan dan pembaharuan perniagaan syarikat boleh dilakukan melalui dua cara iaitu di kaunter mana-mana cawangan pejabat SSM seluruh Malaysia serta secara online menggunakan aplikasi online di laman sesawang SSM yang dikenali sebagai ezbiz online seperti pautan disediakan di bawah:
Aplikasi Pendaftaran Perniagaan SSM : Ezbiz Online
Arahan Menggunakan Ezbiz Online
1. Bagi membuat pendaftaran baru, sila klik butang ‘Sign Up’ dan masukkan nombor kad pengenalan serta nama penuh.
Sekiranya telah mempunyai akaun, sila masukkan Username beserta Kata Laluan dan kod verifikasi lalu tekan butang ‘Sign In’.
2. Selesai membuat pendaftaran, pemohon perlu pergi ke kaunter SSM yang berdekatan dengan membawa MyKad dan Notis Pemberitahuan yang diterima daripada emel yang didaftarkan pengguna.
3. Seterusnya pengguna perlu membuat Pengaktifan ID dengan mengesahkan cap jari (biometrik) dengan tujuan keselamatan maklumat. Ini penting bagi mengesahkan pemilik sebenar untuk mengelakkan sebarang penipuan dalam daftar pemilik perniagaan. Pengaktifan hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup.
4. Selesai semua langkah di atas, pemohon boleh mula menggunakan ezbiz online bagi membuat pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara online.
5. Bagi mendapatkan panduan lengkap menggunakan Ezbiz, sila buka pautan :
Manual Pengguna Ezbiz Pendaftaran Perniagaan Baru
Fungsi Ezbiz Daftar SSM Online
Berikut adalah beberapa fungsi yang boleh dilakukan menerusi Ezbiz SSM secara online
1. Pendaftaran perniagaan secara atas talian (online)
-Pembelian maklumat perniagaan
2. Pembaharuan pendaftaran perniagaan secara online
-Pembelian maklumat perniagaan
-Pembayaran kompaun akibat lewat perbaharui pendaftaran perniagaan
3. Pendaftaran perubahan maklumat perniagaan
4. Penamatan perniagaan
Prosedur Pendaftaran Perniagaan SSM (Pendaftaran Kaunter)
1. Pendaftaran mesti didaftarkan dengan menggunakan nama sendiri ataupun nama ‘tred’.
-Sekiranya pengguna menggunakan nama sendiri seperti di dalam MyKad, pemohon tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan. Sebagai contoh, Razlan bin Sufian, Lek Ah Lek, Rajamuthu a/p Kanagam.
-Nama ‘tred’ adalah nama perniagaan yang dicadangkan serta perlu mendapatkan kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan, SSM terlebih dahulu. Sebagai contohnya Restoran Citarasa, Kedai Dobi Bersih, Grand Star Catering dan lain-lain.
2. Pemohon perlu melengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan mengisi maklumat seperti berikut:
-Nama Perniagaan
-Tarikh Permulaan Perniagaan
-Alamat Utama Perniagaan
-Alamat Cawangan Perniagaan (sekiranya ada)
-Maklumat Pemilik & Rakan Kongsi
-Jenis Perniagaan Yang Akan Dijalankan
-Salinan Perjanjian Perkongsian (sekiranya ada)
3. Pemilik dan rakan kongsi hendaklah menandatangani ruangan maklumat pemilik dan ruangan pengesahan oleh pemilik tunggal/rakan kongsi
4. Pemilik / semua rakan kongsi diwajibkan hadir untuk urusan pendaftaran
5. Dokumen yang perlu dibawa untuk dilampirkan adalah:
-Surat Kebenaran ataupun Surat Sokongan untuk jenis perniagaan Taska (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah/ Kolej Pendidikan (Kementerian/ Jabatan Pendidikan)
-Surat kebenaran atau sokongan daripada agensi berkaitan jika diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan
Fi Pendaftaran SSM
Berikut adalah fi atau bayaran bagi membuat pendaftaran perniagaan:
1. Perniagaan pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri sama seperti di MyKad : RM30.00
2. Perniagaan pemilikantunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred : RM60.00
3. Pendaftaran Cawangan : RM5.00 (setiap cawangan)
4. Cetakan Maklumat Perniagaan : RM10.60 (termasuk GST)
Syarat Mendaftar Perniagaan
Berikut adalah syarat bagi seseorang untuk layak membuat pendaftaran perniagaan:
1. Pemilik haruslah merupakan Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap
2. Haruslah berumur 18 tahun ke atas
3. Pemilik dan rakan kongsi sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan
4. Perniagaan atau tempat utama perniagaan mestilah beroperasi atau dijalankan di semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan
5. Dibawah peruntukan seksyen 5, Akta Pendaftaran Perniagaan (APP 1956) sesuatu perniagaan hendaklah didaftarkan tidak lewat dari 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan tersebut perlu mengemukakan kepada Pendaftar/SSM pendaftaran perniagaan.
6. Perniagaan yang didaftarkan mestilah memenuhi seksyen 2 (Taksiran perniagaan) APP 1956 dan tidak meliputi aktiviti berbentuk amal/kebajikan serta apa-apa kerja yang dinyatakan dalam JADUAL (seksyen 2).
Panduan AM Pendaftaran Perniagaan
Berikut adalah panduan yang disediakan oleh SSM untuk pendaftaran perniagaan:
1. Perniagaan mestilah telah dijalankan dan didaftarkan tidak lewat dari 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan
2. Pendaftaran baru perniagaan boleh dilakukan bagi jangkamasa satu (1) tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran
3. Jenis perniagaan yang didaftarkan mestilah tidak menyalahi undang-undang, tidak bersesuaian dengan keselamatan persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral
4. Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu (1) jam dari waktu pembayaran dibuat
5. Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftar perniagaan adalah membuat suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956) dan sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali
6. Pemilik perniagaan bertanggungjawab bagi mendapatkan lesen, permit atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk jenis/aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM seperti majlis perbandaran dan sebagainya
Maklumat Lanjut Cara Daftar SSM Online
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan dan ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi butiran seperti berikut:
-Telefon : 03-7721 400
-Email : enquiry@ssm.com.my
-Laman Sesawang: Suruhanjaya Syarikat Malaysia
-Facebook: Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Semoga perkongsian mengenai Cara Daftar SSM iaitu cara mendaftar perniagaan SSM secara online ini dapat membantu memudahkan para peniaga untuk membuat pendaftaran dan pembaharuan pendaftaran perniagaan. Diucapkan selamat maju jaya bagi yang mendaftar perniagaan dan semoga perniagaan anda berjalan lancar dan mendapat keuntungan.
Rel : pengguna ezbiz online,