Kepentingan Hari Terbuka Sekolah (Manfaat/ Kebaikan)

Setiap pelajar yang menghadirkan diri ke sekolah mempunyai misi dan visi untuk berjaya demi masa hadapan yang lebih baik. Perkembangan pelajar akan diuji melalui peperiksaan di peringkat sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan. Hasilnya, pencapaian pelajar akan dilaporkan oleh guru kepada ibu, bapa atau penjaga pelajar melalui penganjuran hari terbuka sekolah. Di bawah dikongsikan contoh karangan Kepentingan Hari Terbuka Sekolah (Manfaat/ Kebaikan) sebagai panduan untuk semua.

Salah satu aktiviti di sekolah yang kurang digemari oleh para pelajar adalah hari terbuka sekolah. Hal ini kerana pelajar akan mendengar laporan oleh guru terhadap pencapaian dalam peperiksaan atau pentaksiran bersama-sama ibu, bapa atau penjaga. Justeru, para pelajar perlu bermotivasi untuk sentiasa menjadi yang terbaik dalam apa yang dipelajari atau diceburi dalam aktiviti luar bilik darjah supaya laporan yang baik terhadap pencapaian atau sahsiah diri dapat dipersembahkan di hadapan guru dan juga ahli keluarga masing-masing.

Contoh Karangan Kepentingan Hari Terbuka Sekolah Manfaat Kebaikan

Contoh Karangan Kepentingan Hari Terbuka Sekolah (Manfaat/ Kebaikan)

Berikut dikongsikan Contoh Karangan Kebaikan Hari Terbuka Sekolah mengikut rangka karangan Bahasa Melayu yang terdiri daripada pendahuluan, isi-isi penting dan penutup.

Isi-isi penting yang dikongsikan boleh menjadi isi penting kepada karangan lain yang berkaitan dan perlu dihuraikan mengikut kesesuaian atau kehendak soalan yang diberikan.

Pendahuluan

Sekolah merupakan satu institusi pendidikan utama yang dibangunkan di setiap kawasan penduduk untuk melahirkan ahli masyarakat yang berguna kepada negara. Pendidikan adalah salah satu elemen yang penting dalam membangunkan negara ke arah lebih maju. Oleh sebab itu, setiap di antara kita perlu menghadiri sekolah sejak usia muda yang ditetapkan bagi membentuk individu yang bakal menyumbang kepada perkembangan keluarga, masyarakat dan negara.

Di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), warganegara Malaysia mula menyertai sekolah rendah pada usia tujuh tahun dan tamat persekolahan pada usia tujuh belas tahun di sekolah menengah. Ibu dan bapa atau penjaga bertanggungjawab untuk menghantar anak-anak ke sekolah demi pendidikan kendiri mereka. Bagi memastikan setiap perkembangan pelajar diperhati, pihak sekolah akan menganjurkan Hari Terbuka di mana ibu, bapa atau penjaga murid-murid akan hadir bertemu guru kelas masing-masing. Mari kita kupas manfaat Hari Terbuka Sekolah untuk makluman semua.

Isi 1 – Menjalinkan hubungan antara ibu, bapa atau penjaga dengan guru sekolah

Antara kepentingan penganjuran hari terbuka sekolah adalah supaya jalinan hubungan antara ibu, bapa atau penjaga dengan guru atau kakitangan sekolah menjadi erat. Pada usia setahun jagung, murid-murid memerlukan bimbingan dan panduan dari pelbagai sudut. Tanggungjawab untuk mendidik bukan sahaja terletak pada tangan guru-guru di sekolah tetapi juga ibu dan bapa yang memainkan peranan untuk membimbing mereka. Maka penting untuk mereka saling mengenali antara satu sama lain.

Ibu, bapa atau penjaga dapat mengenali guru kelas atau guru mata pelajaran yang bertanggungjawab mengajar anak-anak di sekolah. Guru-guru pula dapat mengenali ibu, bapa atau penjaga anak murid mereka. Pertemuan secara bersemuka ini dapat membantu komunikasi yang lebih jelas antara satu sama lain sekiranya terdapat masalah yang melibatkan murid-murid di sekolah. Persefahaman yang lebih baik dapat diwujudkan sekaligus mencipta keharmonian untuk bersama-sama mendidik anak-anak muda watan menjadi insan yang terbaik. Natijahnya, hubungan yang baik antara guru dan ibu, bapa atau penjaga murid dapat dibina melalui hari terbuka sekolah.

Isi 2 – Memastikan prestasi anak-anak di sekolah diberi perhatian

Dalam masa yang sama, penganjuran hari terbuka sekolah adalah mustahak untuk memastikan prestasi anak-anak di sekolah diberikan perhatian. Lazimnya, hari terbuka sekolah akan diadakan selepas pelajar menjalani peperiksaan atau pentaksiran tahunan. Selepas proses penandaan dan pemarkahan oleh guru-guru selesai, satu buku laporan akan diisi untuk menunjukkan prestasi para pelajar di sekolah pada sesi akademik tersebut.

Justeru, penting untuk ibu, bapa atau penjaga menghadiri hari terbuka sekolah dan melihat laporan akademik para pelajar bersama-sama guru. Keprihatinan ibu dan bapa memberikan perhatian terhadap pencapaian akademik anak-anak adalah satu nilai yang wajar dipupuk bagi melahirkan insan yang berjaya pada masa akan datang. Setiap kelemahan dan kelebihan pelajar dapat dihuraikan serta langkah untuk menjadi lebih baik dapat dibincangkan. Izharnya, penganjuran hari terbuka sekolah penting untuk memastikan prestasi murid-murid diberi perhatian oleh ibu, bapa atau penjaga masing-masing.

Isi 3 – Mendapatkan nasihat dan pendapat daripada guru berkenaan perkembangan pelajar

Seiring dengan manfaat di atas, hari terbuka sekolah penting untuk mendapatkan nasihat atau pendapat guru berkenaan perkembangan para pelajar. Jika kita melihat dari satu sudut pandang, ibu dan bapa lebih meluangkan masa bersama anak-anak berbanding guru-guru. Objektif hari terbuka sekolah ini adalah untuk memberitahu ibu, bapa atau penjaga murid-murid tentang perilaku mereka semasa di bilik darjah. Sama ada murid tidak memberikan perhatian, atau suka bertanya kepada guru ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Daripada komunikasi secara langsung antara ibu bapa bersama guru-guru, penambah baikan dari segi rutin pelajar dapat dibincangkan. Guru-guru boleh memberi cadangan untuk ibu bapa memberikan latihan tambahan kepada anak-anak dalam mata pelajaran tertentu. Ibu dan bapa juga boleh meminta nasihat daripada guru tentang buku latihan yang sesuai untuk diberikan kepada para pelajar. Situasi ini jelas menunjukkan signifikan hari terbuka sekolah yang dapat membantu semua pihak untuk berjaya mendidik anak bangsa kita.

Isi 4 – Meningkatkan hubungan sekolah dengan komuniti setempat

Akhir sekali, kebaikan menganjur hari terbuka sekolah adalah meningkatkan hubungan sekolah dengan komuniti setempat. Umum mengetahui bahawa sekolah beroperasi di bawah kerajaan yang mempunyai dana yang terhad setiap tahun. Oleh sebab demikian, ibu bapa atau penjaga yang merupakan komuniti setempat ataupun bekas pelajar sekolah tersebut dapat melihat keadaan terkini suasana pembelajaran yang digunakan oleh anak-anak di sekolah.

Adakah kemudahan seperti meja, kerusi atau kipas cukup selesa untuk mereka belajar dan memberikan perhatian kepada guru? Komuniti setempat boleh mengambil inisiatif untuk menambah baik infrastruktur di sekolah dengan memastikan sumbangan wang ke Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diselesaikan dan sumbangan tambahan untuk sebarang masalah yang timbul di sekolah masing-masing. Guru-guru juga berkesempatan untuk menjelaskan kepada ibu, bapa atau penjaga tentang aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk para pelajar selain pembelajaran di dalam bilik darjah. Jelas bahawa hubungan pihak sekolah bersama komuniti setempat dapat ditingkatkan melalui penganjuran hari terbuka sekolah.

Isi 5 – Membuka peluang untuk sekolah mendapat bantuan daripada ibu, bapa atau penjaga

Manfaat lain yang diperoleh pihak sekolah apabila menganjurkan hari terbuka sekolah adalah membuka peluang kepada bantuan daripada ibu, bapa atau penjaga murid-murid. Suka untuk diingatkan bahawa sekolah merupakan institusi penting dalam melahirkan masyarakat yang berguna untuk keluarga, bangsa dan negara. Maka, mustahak untuk kita pastikan institusi yang mulia ini mendapat sokongan, bantuan daripada mereka yang berkemampuan. Keadaan yang kondusif dan selesa untuk anak-anak menelaah ilmu menjadi objektif utama.

Melalui penganjuran hari terbuka, guru-guru berpeluang untuk mengenali ibu dan bapa pelajar yang mungkin bekerja di bawah syarikat yang besar atau merupakan usahawan yang berpotensi untuk memberi sumbangan kepada sekolah. Tanggungjawab sosial korporat boleh dilaksanakan bersama pihak sekolah yang memberikan pulangan kepada murid-murid. Mereka dapat melakukan lebih banyak aktiviti di luar bilik darjah dan sebagainya yang menaikkan keseronokan untuk hadir ke sekolah.

Isi 6 – Memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan pencapaian akademik

Dari satu sudut pandang yang berbeza, penganjuran hari terbuka sekolah penting untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan untuk cemerlang di sekolah. Hal ini kerana semasa hari terbuka diadakan, guru-guru akan bersikap jujur kepada ibu dan bapa tentang perilaku dan pencapaian anak-anak murid. Mungkin sebelum ini para pelajar menipu atau cuba mengelak pertanyaan oleh ibu atau bapa mengenai sekolah tetapi perlu berhadapan dengan realiti sebenar pada hari terbuka sekolah.

Oleh itu, para pelajar yang kurang cemerlang di sekolah mungkin akan meningkatkan motivasi diri supaya laporan yang diberikan oleh guru kepada ibu dan bapa masing-masing adalah laporan yang baik dan cemerlang. Situasi ini akan menjadi satu pengajaran atau iktibar kepada pelajar kerana menjelang masuk ke alam pekerjaan, diri sendiri yang perlu berhadapan dengan laporan ini bersama ketua atau bos di tempat kerja kelak. Konklusinya, hari terbuka sekolah memberikan manfaat kepada pelajar sebagai motivasi untuk cemerlang di sekolah.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak manfaat dan kebaikan daripada penganjuran hari terbuka sekolah. Ibu, bapa atau penjaga sewajarnya meluangkan masa untuk menghadiri hari yang penting ini. Demi anak-anak yang semakin memerlukan sokongan daripada ahli keluarga mereka. Guru dan kakitangan sekolah juga mengharapkan kehadiran ibu, bapa dan penjaga untuk memastikan tanggungjawab mereka mendidik anak bangsa dilaksanakan dengan sepenuh hati dan ikhlas. Semoga usaha murni ini diteruskan dan menjadi titik tolak kepada perkembangan masyarakat kita. Untuk melahirkan generasi berminda kelas pertama serta menyumbang kepada perkembangan negara ke arah lebih maju dan bersatu.

Rel : ibu bapa yang hadir, orang ramai, pejabat pendidikan daerah, hari terbuka ppd, pelbagai aktiviti, program hari terbuka,

Tinggalkan Balasan