Perkembangan teknologi yang mendadak seperti cendawan tumbuh selepas hujan telah menyebabkan risiko jenayah juga meningkat. Sebagai pelajar, penggunaan internet untuk mencari bahan ulangkaji mata pelajaran atau berhibur bermain permainan video merupakan salah satu rutin yang dilakukan pada masa lapang. Namun, rutin ini memberi risiko kepada pelajar untuk menjadi mangsa kepada penjenayah siber. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan Langkah Mengatasi Jenayah Siber Dalam Kalangan Masyarakat sebagai panduan untuk semua.
Salah satu isu semasa yang menjadi bualan dalam kalangan masyarakat pada hari ini adalah jenayah siber yang semakin berleluasa. Secara definisi, jenayah siber adalah perbuatan yang dilakukan secara sengaja atau tidak oleh individu atau kumpulan yang mewakili mana-mana organisasi untuk mendapatkan maklumat secara sah atau tidak atau merosakkan peranti yang berkait dengan rangkaian internet.
Contoh Karangan Langkah Mengatasi Jenayah Siber Dalam Kalangan Masyarakat
Rujuk perkongsian berkaitan contoh karangan bertajuk, Cara Menangani Masalah Jenayah Siber Daripada Terus Menular Dalam Kalangan Masyarakat seperti di bawah.
Pendahuluan
Mutakhir ini, kita acapkali dihidangkan oleh media elektronik tentang kes-kes jenayah siber yang membelenggu masyarakat. Ratusan, ribuan malah jutaan ringgit milik mangsa telah diperdaya begitu sahaja oleh penjenayah-penjenayah yang tidak bertanggungjawab. Nyawa yang tidak bersalah pun telah terkorban kerana mengalami tekanan selepas dibuli secara maya oleh mereka yang tidak berhati perut. Peristiwa dan kejadian yang tidak diingini oleh sesiapa pun perlu dicegah sebelum ia berulang semula pada masa akan datang.
Sebelum ini jenayah kebanyakannya berlaku di hadapan mata dan melibatkan kecederaan fizikal tetapi perkembangan teknologi telah menjadikan jenayah boleh berlaku tanpa kita sedari. Helah dan ekspolitasi yang kadang kala tidak mampu kita fikirkan telah menjadi modus operandi penjenayah siber untuk mengaut keuntungan yang haram. Oleh sebab yang demikian, mari kita kenal pasti langkah-langkah dalam menangani masalah jenayah siber dalam kalangan masyarakat demi kemaslahatan bersama.
Isi 1 – Pendidikan tentang jenayah siber
Langkah pertama untuk mengatasi jenayah siber adalah dengan mendidik semua lapisan masyarakat tentang apa itu jenayah siber. Antara jenayah siber yang lazim kita ketahui adalah penipuan dalam talian atau panggilan “scam”, penipuan e-Dagang, serangan virus dan juga pencurian identiti. Senarai ini menepati definisi jenayah siber iaitu jenayah yang menggunakan rangkaian komputer atau peranti perkakasan seperti telefon pintar untuk memperdaya mangsa.
Informasi ini perlu disalurkan di media arus perdana dan media sosial yang menjadi ruang utama masyarakat hari ini meluangkan masa lapang mereka. Pendidikan di sekolah, institusi awam, pejabat swasta dan organisasi juga perlu dilaksanakan secara pantas dan berkala kerana modus operandi jenayah siber berkembang pantas seperti perkembangan teknologi yang kita nikmati hari ini. Apabila masyarakat kita diberikan pendidikan dan informasi tentang apakah itu jenayah siber dan kaedah untuk mengelak daripada menjadi mangsa, pasti ia membantu mengurangkan kes jenayah siber di negara kita secara amnya.
Isi 2 – Memudahkan proses aduan jenayah
Selain itu, proses aduan jenayah yang mudah adalah langkah untuk mengatasi jenayah siber dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan di antara kita yang memiliki nombor telefon pasti pernah mendapat panggilan palsu atau “scammer”. Hal yang membimbangkan ini perlu diselidik kerana terdapat pihak yang menjual nombor telefon peribadi kita kepada sindiket siber. Oleh itu, sekiranya kita menerima panggilan palsu dan boleh membuat aduan secara langsung kepada pihak berkuasa untuk menjejaki pemanggil tersebut lalu menangkap penjenayah dengan kadar yang segera.
Inisiatif ini telah pun dilaksanakan oleh Polis DiRaja Malaysia dan kementerian yang berkaitan dalam melancarkan talian hotline jenayah penipuan dan jenayah siber. Namun tindakan selepas aduan kurang kita dengari pengakhirannya sama ada penjenayah ditangkap dan dijatuhkan hukuman ataupun tidak. Sebaliknya, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita telah menunaikan amanah untuk melaporkan perlakuan jenayah kepada pihak berkuasa.
Isi 3 – Penguatkuasaan undang-undang jenayah siber
Langkah seterusnya untuk mengatasi jenayah siber dalam kalangan masyarakat adalah dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan jenayah siber. Undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 perlu diperkasa dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa untuk mengekang penjenayah siber yang menggunakan data peribadi secara tidak sah. Ahli masyarakat perlu cakna tentang akta ini dan memastikan data peribadi kekal peribadi.
Masyarakat yang kurang celik dalam penggunaan teknologi seperti golongan warga emas dan kanak-kanak berpotensi mendedahkan data peribadi jika tidak dididik. Maka pihak berkuasa perlu menunjukkan bahawa undang-undang ini dilaksanakan dan penjenayah siber yang ditangkap dipertontonkan kepada khalayak agar masyarakat umum berasa yakin dengan pihak berkuasa dan lebih berwaspada dalam menggunakan peranti atau melayari alam maya.
Isi 4 – Kerjasama pihak awam dan swasta dalam menangani jenayah siber
Salah satu kaedah dalam membendung jenayah siber dalam masyarakat adalah dengan melaksanakan kerjasama pihak awam dan swasta mengenai jenayah siber. Kerjasama yang dibentuk adalah dari segi perkongsian pengetahuan dan teknologi terkini yang dihasilkan oleh pihak swasta dan memaklumkan kepada pihak awam supaya informasi yang tepat dapat disalurkan kepada masyarakat awam. Misalnya penggunaan aplikasi di telefon pintar yang boleh menapis panggilan palsu.
Simbiosis ini wajar dibentuk dan membantu merancakkan syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan keselamatan siber. Pihak kerajaan boleh menganjurkan forum terbuka dan menjemput pakar-pakar keselematan siber untuk memberikan perkongsian atau informasi berkenaan jenayah siber disetiap peringkat sama ada di sekolah, universiti mahupun di pejabat awam dan swasta.
Isi 5 – Menggunakan peranti, aplikasi atau perisian yang sah dan terkini
Jenayah siber dalam kalangan masyarakat juga dapat diatasi sekiranya setiap individu menggunakan peranti, aplikasi atau perisian yang sah dan terkini. Oleh kerana kebimbangan jenayah siber yang makin berleluasa di peringkat dunia, pihak yang mengeluarkan produk berasaskan teknologi telah meningkatkan ciri keselamatan siber masing-masing. Hal ini disebabkan kaitan jenayah siber dengan produk tekonologi yang ditawarkan akan merugikan dan menjatuhkan imej produk atau jenama mereka.
Tamsilnya, pengeluar-pengeluar peranti seperti Apple, Microsoft dan Samsung juga boleh membantu penggunanya dalam kalangan masyarakat kita tentang ciri keselamatan yang ditawarkan.Langkah ini bukan sahaja menjamin keselamatan daripada seranagn siber seperti seranagn virus tetapi juga memastikan segala yang kita gunakan khususnya perisian adalah sah secara undang-undang.
Isi 6 – Menganjurkan kempen kesedaran yang berkesan
Akhir sekali, langkah untuk mengatasi jenayah siber dalam kalangan masyarakat pada hari ini adalah dengan menganjurkan kempen kesedaran yang berkesan. Selepas pendidikan dan perkongsian informasi di setiap peringkat masyarakat, kempen kesedaran yang lebih berkesan perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Paparan keselamatan setiap kali pengguna ingin melakukan transaksi atas talian atau mengisi data peribadi adalah kaedah terbaik ketika ini.
Di samping itu, iklan di media arus perdana dan media sosial perlu diteruskan secara berkala. Agar masyarakat umum sentiasa waspada terhadap ancaman jenayah siber disekeliling kita. Demonstrasi dan perkongsian modus operandi penjenayah siber dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami bagaimana jenayah tersebut berlaku. Dan mengenal pasti helah atau penipuan yang mereka cuba gunakan ke atas mangsa-mangsa yang terbabit.
Penutup
Tuntasnya, jenayah siber dalam kalangan masyarakat mampu dibanteras sekiranya langkah-langkah di atas dilaksanakan dengan jayanya. Ahli masyarakat perlu sedar bahawa perkembangan teknologi yang pantas menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk memastikan jenayah siber tidak langsung berlaku di negara ini. Sebaliknya, kita sebagai masyarakat yang berminda kelas pertama perlu sentiasa peka dan berusaha untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa jenayah siber. Seiring dengan inisiatif pemimpin negara untuk menjadikan negara kita sebagai salah satu negara yang menawarkan perkhidmatan pusat data di dunia. Kadar jenayah siber perlu dikurangkan dan dibanteras secara menyeluruh. Apabila negara kita mempunyai kesedaran dan keselmatan siber yang baik, pastinya akan menjadi contoh kepada negara-negara asing yang lain.
Rel : meningkatkan keupayaan,