Antara soalan yang mencabar pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah untuk menjawab penulisan karangan yang mempunyai format. Pelajar perlu menulis mengikut struktur yang tepat agar jawapan yang diberikan mengikut kehendak soalan dan format karangan tersebut. Sebagai panduan kepada semua, di bawah dikongsikan Contoh Karangan Syarahan Atau Pidato beserta Format yang betul untuk digunakan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu masing-masing.
Syarahan dan pidato mempunyai format penulisan yang hampir sama tetapi gaya penyampaian yang berbeza. Anda perlu menulis dengan memberikan tumpuan kepada cara untuk menarik perhatian pendengar apabila menulis syarahan. Manakala, pidato tidak terlalu bergantung pada teks berbanding syarahan. Para pelajar perlu memastikan tajuk dikupas dengan fakta dan contoh yang tepat dalam menghuraikan isi-isi penting yang ingin diberikan.
Contoh Karangan Syarahan Atau Pidato Beserta Format Penulisan
Pastikan anda mengikut format dan tips yang diberikan supaya dapat menulis karangan bentuk syarahan atau pidato yang menarik dan cemerlang.
Format Syarahan
Di bawah adalah struktur karangan yang lazim digunakan sebagai format karangan :-
- Kata-kata aluan
- Pendahuluan untuk isi-isi syarahan
- Isi syarahan 1
- Isi syarahan 2
- Isi syarahan 3
- Isi syarahan 4
- Kesimpulan isi-isi syarahan
- Penutup syarahan
Tips Penulisan Karangan Syarahan dan Pidato
a) Kata alu aluan kepada para hadirin mengikut pangkat
b) Kata-kata penghadapan yang diselang-seli antara satu atau dua perenggan
c) Disampaikan dalam sesuatu majlis atau pertandingan
d) Isi, fakta mestilah logik, tepat dan meyakinkan
e) Bahasa baku, mudah difahami, padat, tegas dan berkesan
f) Gunakan ayat aktif iaitu pelaku sebagai subjek anda
g) Elakkan menggunakan ayat yang panjang dan diselang-selikan dengan ayat pendek.
h )Menyatakan tajuk syarahan yang akan disampaikan dan tujuan syarahan itu dibuat
i) Penutup ditulis dengan permohonan maaf sekiranya terdapat ketelanjuran kata dan mengucapkan terima kasih
j) Antara ayat pertama yang digunakan untuk setiap perenggan adalah seperti berikut:
- Saya akan rungkaikan persoalan ini di bawah kata kunci
- Hujah saya yang kedua terangkum dalam aspek
- Idea saya yang ketiga berpandukan perspektif
- Meniti hujah saya yang seterusnya, iaitu
k) Karangan akan lebih menarik jika anda memetik kata-kata tokoh, kata mutiara sebelum menulis kata-kata aluan, menyelitkan peribahasa atau kiasan dalam setiap perenggan, mengakhiri dengan serangkap pantun atau menggunakan bahasa yang indahm tegas dan berkesan.
Contoh Karangan Syarahan
Berikut adalah contoh karangan bentuk syarahan sebagai rujukan :-
Masyarakat Malaysia kurang membaca. Sebagai salah seorang peserta pertandingan akhir syarahan peringkat sekolah, anda telah memilik tajuk “Cara-cara memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak”
Yang dihormati, Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adik lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan yang akan disampaikan adalah cara-cara memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Hadirin yang dihormati,
Kita boleh membayangkan kanak-kanak seperti kain putih, Didikan ibu bapa yang akan membentuk anak-anak. Sekiranya ibu bapa melihat anak minat membaca buku, berikan sokongan dengan membiasakan diri mereka bersama buku. Usaha untuk memperuntukkan sejumlah wang demi membelikan anak-anak buku pada setiap bulan. Kunjungan ke pameran atau kedai buku juga akan menambah minat mereka terdahadap membaca.
Pada masa yang sama, ibu bapa dan ahli keluarga juga seharusnya menjadi contoh kepada anak-anak kecil untuk membaca. Bayangkan jika ibu dan bapa rajin membaca buku dan perkara tersebut akan mempengaruhi anak-anak untuk turut membaca. Pasti segala hobi atau aktiviti lapang di negara ini mempunygai buku yang berkaitan untuk dibaca bersama.
Ibu bapa yang prihatin juga boleh membantu memupuk anak-anak minat membaca dengan memberikan hadiah berbentuk buku atau bahan bacaan yang menarik. Inisiatif seperti program NILAM di sekolah adalah mustahak kerana menggalakkan pelajar membaca dan memberikan penghargaan kepada pencapaian mereka.
Akhir sekali, membawa anak-anak berkunjung ke pameran atau festival buku dpat membantu menambah minat mereka untuk membaca. Hal ini kerana kunjungan tersebut dapat mendedahkan mereka kepada pelbagai jenis bahan bacaan yang mampu menarik perhatian mereka untuk mula membaca.
Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyatakan satu periBahasa Melayu “Jika hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Jika kita ingin membina nilai dalam diri anak-anak, nilai tersebut hendaklah dididik sejak kecil lagi. Sekian, terima kasih.
Contoh Karangan Pidato
Di bawah pula adalah contoh karangan bentuk pidato untuk rujukan :-
Anda akan menyertai pertandingan pidato sempena Kempen Bulan Bahasa peringkat sekolah dan tajuk pidato adalah “Memartabatkan Bahasa Melayu”
Selamat pagi dan selaamat sejahtera saya ucapkan kepada hadirin sekalian.
Terima kasih saya ucapkan kepada hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, guru-guru dan rakan-rakan pelajar.
Bersempena Kempen Bulan Bahasa ini, saya akan menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu”. Sebagai bahasa rasmi negara Malaysia, Bahasa Melayu perlu diutamakan dan dipertahankan oleh semua golongan di Malaysia. Hampir keseluruhan masyarakat kita bertutur dalam bahasa Malaysia dan memupuk perpaduan antara kaum secara tidak langsung. Namun begitu, semakin hari semakin dilupakan martabat Bahasa Melayu yang penuh dengan keunikan tanah air kita.
Hadirin sekalian,
Langkah pertama untuk memupuk kesedaran tentang martabat Bahasa Melayu adalah dengan memberi didikan kepada anak-anak kecil. Ibu, bapa dan guru-guru memainkan peranan untuk memastikan anak-anak mampu membaca, menulis, memahami dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik. Apabila anak-anak, menguasai bahasa kebangsaan ini, pastinya ia akan membantu langkah memartabatkan Bahasa Melayu yang lain.
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Kaedah seterusnya dalam memartabatkan Bahasa Melayu adalah dengan menjalan kempen yang berkesan melalui media massa. Pihak berkuasa seperti kerajaan perlu merencana strategi kempen yang berkesan untuk meningkatkan penghargaan terhadap Bahasa Melayu. Contohnya, memberikan ruang dan bajet kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mencipta kandungan yang memartabatkan Bahasa Melayu.
Hadirin yang dihormati,
Martabat Bahasa Melayu perlu terus diangkat melalui penguatkuasaan oleh pihak berkuasa. Penggunaan Bahasa Melayu dalam dokumen rasmi, papan tanda, iklan dan kandungan di dalam media perlu dikuatkuasakan agar bahasa yang betul terus digunakan dan dipamerkan kepada khalayak awam. Pihak berkuasa perlu bertindak tegas kepada mereka yang menyalah guna bahasa kebangsaan dalam apa juga penggunaan seperti papan tanda atau iklan degan denda yang munasabah. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat akan mula memartabatkan Bahasa Melayu.
Sebagai kesimpulan, saya ingin menegaskan bahawa setiap inisiatif memartabatkan Bahasa Melayu perlu dilaksanakan mulai hari ini. Semua pihak perlu berganding bahu tanpa mengira kaum untuk mengekalkan penggunaan bahasa kebangsaan yang pernah menjadi Lingua Franca suatu masa dahulu. Jika ia tidak dilakukan, faktor globalisasi dan perkembangan internet tanpa sempadan akan mengancam martabat Bahasa Melayu yang perlu kekal relevan dari zaman ke zaman.
Sekian sahaja pidato saya dan ingin memohon maaf jika tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato sebentar tadi. Sekian, terima kasih.
Semoga perkongsian berkaitan Contoh Karangan Syarahan Atau Pidato & Format membantu pelajar untuk menjawab soalan-soalan pentaksiran yang berkaitan.
Rel : hadirin yang dihormati tuan pengerusi majlis barisan, guru dan rakan rakan, mulia tuan pengerusi majlis
tuan tuan dan puan, bertajuk mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah, satu tajuk, membaca untuk mengisi masa lapang, sediakan teks syarahan, ucapan terima kasih, untuk menyampaikan syarahan,