Para pelajar yang dikategorikan sebagai golongan muda digalakkan untuk menyertai aktiviti berkaitan komuniti. Galakkan ini adalah kerana aktiviti kemasyarakatan memberi pelbagai kebaikan kepada pelajar berbanding menghabiskan masa dengan aktiviti yang sia-sia atau tidak berfaedah. Oleh itu, di bawah dikongsikan contoh karangan berkaitan Kebaikan Amalan Gotong Royong sebagai panduan untuk semua.
Masyarakat kita sebenarnya kaya dengan pelbagai budaya yang memberikan manfaat kepada semua seperti amalan gotong-royong. Amalan yang dipraktikkan sejak generasi dahulu ini membuktikan bahawa ianya wajar dikekalkan kerana tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Walaupun pelbagai perkhidmatan telah disediakan untuk memudahkan kita seperti perkhidmatan katering, amalan gotong-royong masih boleh diamalkan.
Contoh Karangan Kebaikan Amalan Gotong Royong (Kelebihan)
Karangan Bahasa Melayu yang lengkap bagi pelajar yang akan menduduki SPM mengandungi pendahuluan, empat isi penting dan penutup. Anda boleh merujuk contoh karangan Kepentingan Amalan Gotong Royong dalam kalangan masyarakat seperti di bawah.
Pendahuluan
Amalan gotong-royong sudah lama sebati dengan budaya masyarakat Malaysia, khususnya dalam kalangan penduduk kampung. Amalan ini merujuk kepada kerjasama dan usaha bersama oleh sekumpulan individu untuk menyelesaikan tugasan atau kerja yang besar dan berat. Aktiviti ini sering dilihat dalam pelbagai acara seperti membersihkan kawasan perumahan, menganjurkan kenduri kahwin dan sambutan perayaan.
Dalam era modenisasi ini, masyarakat kita kurang menyertai aktiviti ini kerana sibuk dalam kerjaya dan mencari rezeki. Walaupun amalan gotong-royong semakin berkurangan, ia tetap menjadi simbol perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat. Pelbagai kebaikan boleh diperoleh melalui amalan gotong-royong, dan ianya bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, tetapi juga kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya.
Isi 1 – Mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli masyarakat
Pertama sekali, amalan gotong-royong dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli masyarakat. Apabila individu berkumpul dan bekerjasama dalam sesuatu aktiviti, mereka akan berpeluang untuk berinteraksi dan berkenalan antara satu sama lain. Ini membantu untuk mengurangkan jurang komunikasi dan mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat. Misalnya, aktiviti membersihkan kawasan kampung secara gotong-royong dapat menyatukan penduduk kampung tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
Semua pihak boleh berinteraksi, bertukar pendapat atau berkongsi masalah, dan secara tidak langsung, ikatan persaudaraan antara mereka menjadi lebih kuat. Pada masa yang sama, gotong-royong juga membantu menghindari perasaan prasangka dan prejudis antara satu sama lain kerana setiap individu terlibat dalam usaha bersama ke arah kebaikan. Izharnya, aktiviti gotong-royong dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli masyarakat di negara kita.
Isi 2 – Menjimatkan masa dan tenaga
Amalan gotong-royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Tugasan yang dilakukan secara berseorangan mungkin memerlukan masa yang lama untuk disiapkan, terutamanya jika tugasan itu berat dan memerlukan banyak tenaga. Namun, melalui amalan gotong-royong, tugasan tersebut dapat diselesaikan dengan lebih cepat kerana adanya tenaga kerja yang ramai.
Tamsilnya, dalam aktiviti membina rumah untuk penduduk yang kurang berkemampuan, jika dilakukan oleh seorang atau dua orang sahaja, mungkin memakan masa berminggu-minggu. Namun, dengan kehadiran ramai individu yang bekerjasama, rumah tersebut dapat disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat. Begitu juga dalam acara kenduri kahwin, persiapan makanan dan hiasan dewan akan lebih mudah dan cepat diselesaikan jika dilakukan secara gotong-royong.
Isi 3 – Memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat
Tambahan pula, amalan gotong-royong dapat memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat. Apabila individu terlibat dalam aktiviti gotong-royong, mereka akan belajar untuk membantu tanpa mengharapkan balasan. Semangat ini penting dalam mewujudkan masyarakat yang penyayang dan prihatin terhadap keperluan orang lain.
Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong membersihkan rumah penduduk yang ditimpa musibah banjir dapat memberi bantuan yang amat diperlukan oleh mangsa. Walaupun mereka tidak dibayar untuk melakukan tugasan tersebut, kehadiran sukarelawan melalui amalan gotong-royong dapat meringankan beban mangsa banjir. Semangat sukarelawan ini juga boleh dikembangkan ke dalam pelbagai aktiviti masyarakat lain seperti bantuan kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik.
Isi 4 – Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar
Di samping itu, gotong-royong membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar. Apabila aktiviti gotong-royong dijalankan, seperti membersihkan kawasan sungai atau tempat awam, ia akan membuka mata masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan persekitaran mereka. Hal ini juga dapat mengurangkan masalah pencemaran yang berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang membuang sampah merata-rata.
Melalui aktiviti gotong-royong, orang ramai akan lebih peka terhadap isu kebersihan dan akan lebih bertanggungjawab dalam menjaga persekitaran masing-masing. Sebagai contoh, di sesetengah tempat, gotong-royong membersihkan pantai sering dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran tentang masalah sampah yang mencemari kawasan pantai. Aktiviti yang sihat dan bermanfaat ini lebih untung untuk dianjurkan berbanding aktiviti sia-sia yang lain.
Isi 5 – Mengurangkan kos yang perlu ditanggung
Seterusnya, amalan gotong-royong dapat mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh masyarakat atau individu tertentu. Aktiviti yang melibatkan gotong-royong tidak memerlukan bayaran kepada pekerja kerana ia dilakukan secara sukarela. Contohnya, dalam aktiviti membaiki kerosakan rumah atau masjid, penduduk setempat boleh berkumpul dan membaiki kerosakan tersebut tanpa perlu membayar kepada kontraktor.
Ini secara langsung dapat menjimatkan kos dan dana yang boleh digunakan untuk tujuan lain. Selain itu, aktiviti seperti ini juga memberi peluang kepada mereka yang terlibat untuk mempelajari kemahiran baharu seperti cara membaiki kerosakan rumah dan membersihkan longkang. Kemahiran ini mungkin dilihat remeh tetapi mungkin berguna untuk diri, keluarga atau masyarakat pada masa hadapan.
Isi 6 – Memupuk nilai-nilai murni
Akhir sekali, amalan gotong-royong dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri individu, terutamanya generasi muda. Melalui aktiviti ini, golongan muda dapat belajar tentang pentingnya bekerjasama, bertolak ansur, dan tolong-menolong. Mereka juga akan belajar untuk menghargai kepentingan kerja keras dan usaha bersama dalam mencapai sesuatu tujuan.
Nilai-nilai ini penting dalam pembentukan sahsiah diri yang baik, dan ia juga boleh diterapkan dalam kehidupan seharian serta dalam pekerjaan mereka kelak. Generasi muda yang dididik dengan nilai-nilai gotong-royong akan menjadi individu yang lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap keperluan orang lain. Natijahnya, amalan gotong-royong memupuk nilai murni dalam diri setiap ahli masyarakat yang menyumbang kepada keharmonian serta kesejahteraan negara.
Penutup
Kesimpulannya, amalan gotong-royong mempunyai pelbagai kebaikan yang boleh dinikmati oleh semua pihak. Oleh itu, amalan ini perlu diteruskan dan dikekalkan dalam masyarakat Malaysia agar semangat kerjasama dan perpaduan sentiasa terpelihara. Semua pihak, termasuklah kerajaan, sekolah, dan masyarakat setempat, perlu memainkan peranan masing-masing dalam memupuk dan menggalakkan amalan gotong-royong dalam kehidupan seharian. Aktiviti berbentuk komuniti ini merupakan asas pembentukan negara yang berjaya dari pelbagai segi. Kebersamaan yang dibentuk akan melahirkan generasi yang tertumpu ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan masa dahulu.
Rel : bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, pelbagai kaum, perpaduan antara masyarakat, jiran tetangga, salah satu, malaysia merupakan negara, rakyat Malaysia, untuk membersihkan kawasan,