Teknologi merupakan antara tema isu semasa yang wajar dikaji oleh pelajar. Hal ini kerana terdapat pelbagai teknologi yang dicipta dan kita gunakan pada setiap hari. Sebagai ujian kepada pelajar, guru akan memberikan latihan untuk mengupas sesebuah teknologi tersebut bermanfaat atau memberikan keburukan kepada diri, masyarakat ataupun negara. Di bawah dikongsikan satu contoh karangan bertajuk Kebaikan E-wallet Atau E-dompet.
Mutakhir ini, masyarakat kita khususnya golongan belia jarang sekali membawa wang tunai ketika keluar daripada rumah. Hal ini kerana segala urusan berkenaan kewangan boleh dilaksanakan menggunakan e-wallet atau e-dompet. Kemudahan ini memberikan pelbagai manfaat kepada kita terutamanya dalam menyelesaikan urusan harian. Sebagai pelajar, penting untuk kita terokai kebaikan sesuatu teknologi ini dan kesannya terhadap masyarakat dan negara kita.
Contoh Karangan Kebaikan E-wallet Atau E-dompet
Anda boleh merujuk contoh karangan bertajuk Kelebihan E-wallet Atau E-dompet seperti berikut. Dua isi tambahan yang diberikan sebagai idea untuk pelajar menjawab soalan lain yang berkaitan atau membuat latihan sebelum menduduki pentaksiran di sekolah.
Pendahuluan
Dalam era globalisasi dan teknologi moden ini, penggunaan e-wallet atau e-dompet semakin meluas dalam kalangan masyarakat di Malaysia. E-wallet merujuk kepada satu aplikasi atau platform dalam talian yang membolehkan kita membuat pembayaran secara digital tanpa perlu menggunakan wang tunai.
Dengan hanya beberapa langkah mudah melalui telefon pintar, urusan kewangan seperti pembelian barang, pembayaran bil, dan penghantaran wang kepada orang lain dapat dilakukan dengan pantas dan selamat. Terdapat banyak platform e-wallet yang popular di Malaysia seperti Touch ‘n Go eWallet, GrabPay, Boost dan sebagainya. akan membincangkan beberapa kebaikan penggunaan e-wallet dalam kehidupan harian.
Isi 1 – Memudahkan urusan pembayaran
Pertama sekali, penggunaan e-wallet memudahkan urusan pembayaran. Melalui e-wallet, kita tidak lagi perlu membawa wang tunai atau kad kredit dalam kuantiti yang banyak. Cukup dengan hanya membawa telefon pintar, segala urusan pembayaran boleh dilakukan dengan cepat dan efisien. Proses identifikasi dan verifikasi yang bersifat peribadi juga memudahkan sebarang transaksi.
Sebagai contoh, apabila kita ingin membeli makanan di restoran atau membuat pembelian dalam talian, kita hanya perlu mengimbas kod QR atau memasukkan maklumat akaun penerima, dan pembayaran boleh diselesaikan dalam beberapa saat sahaja. Kemudahan ini pastinya memudahkan pengguna terutamanya dalam situasi yang memerlukan kelajuan dan keselamatan dalam urusan kewangan.
Isi 2 – Selamat berbanding membawa wang tunai
Di samping itu, e-wallet juga lebih selamat berbanding membawa wang tunai. Risiko kehilangan wang tunai atau dicuri adalah lebih tinggi apabila kita membawa banyak wang dalam beg atau dompet fizikal. Namun, dengan e-wallet, risiko ini dapat dikurangkan kerana wang kita disimpan dalam bentuk digital dan hanya boleh diakses melalui kata laluan, cap jari, atau pengesahan wajah.
Malah, jika telefon pintar kita hilang sekalipun, akaun e-wallet masih dilindungi oleh pelbagai lapisan keselamatan. Apabila berlaku sebarang transaksi, kita lazimnya akan dimaklumkan melalui SMS atau notifikasi di telefon pintar masing-masing. Ciri keselamatan ini cukup untuk menyedarkan kita jika berlaku sebarang transaksi tanpa pengetahuan kita. Ini menjadikan e-wallet sebagai satu pilihan yang lebih selamat berbanding menggunakan wang tunai.
Isi 3 – Mengurus kewangan dengan lebih bijak
Selain itu, e-wallet juga dapat membantu kita mengurus kewangan dengan lebih bijak. Kebanyakan aplikasi e-wallet dilengkapi dengan ciri-ciri yang membolehkan pengguna melihat sejarah transaksi mereka dengan lebih mudah. Ini bermakna, kita dapat melihat rekod perbelanjaan kita pada bila-bila masa, dan ini memudahkan kita untuk menyemak dan mengurus perbelanjaan harian.
Tambahan pula, kebanyakan aplikasi e-wallet juga menyediakan peringatan atau notifikasi apabila had perbelanjaan tertentu hampir dicapai, membantu kita mengelakkan pembaziran dan berbelanja secara lebih berhemah. Terdapat juga ciri untuk kita menabung mengikut jumlah simpanan yang ingin dicapai pada tempoh masa yang bolh ditetapkan. Ciri-ciri ini bukan sahaj dapat mengelakkan sikap boros manusia tetapi juga membantu kita untuk lebih peka akan tabungan demi masa hadapan.
Isi 4 – Menawarkan pelbagai ganjaran dan diskaun menarik
Pada masa yang sama, e-wallet juga sering menawarkan pelbagai ganjaran dan diskaun menarik. Banyak platform e-wallet di Malaysia bekerjasama dengan syarikat-syarikat perniagaan untuk menyediakan tawaran eksklusif kepada pengguna. Salah satu platform e-wallet di Malaysia iaitu Grab mempunyai satu ekosistem teknologi yang memberikan pelabagi ganjaran kepada penggunanya kerana pengguna GrabPay dapat menebus ganjaran atau voucher bagi menggunakan GrabRide atau Grabfood.
Sebagai contoh, pengguna e-wallet boleh menikmati diskaun di kedai-kedai tertentu, mata ganjaran yang boleh ditebus untuk pembelian seterusnya, serta pulangan tunai untuk setiap transaksi yang dibuat.Kelebihan ini pastinya menggalakkan lebih ramai pengguna untuk beralih kepada penggunaan e-wallet, kerana mereka dapat berjimat dalam perbelanjaan harian.
Isi 5 – Mesra Alam
Selain kebaikan dari segi kewangan, penggunaan e-wallet juga memberikan kebaikan dari sudut mesra alam. Dalam usaha memelihara alam sekitar, penggunaan e-wallet dapat mengurangkan kebergantungan kepada wang kertas dan resit cetakan. Apabila kita menggunakan e-wallet, kita tidak lagi memerlukan resit cetakan kerana semua rekod transaksi disimpan dalam bentuk digital.
Situasi ini pastinya dapat mengurangkan penggunaan kertas dan memberi kesan positif kepada alam sekitar dalam jangka masa panjang. Lebih-lebih lagi dalam konteks perubahan iklim dan kesedaran terhadap kelestarian alam, penggunaan e-wallet merupakan salah satu langkah yang mesra alam yang boleh diamalkan oleh masyarakat.
Isi 6 – Menyokong perkembangan ekonomi digital negara
Akhir sekali, e-wallet juga menyokong perkembangan ekonomi digital negara. Penggunaan e-wallet semakin meningkat di Malaysia, selari dengan agenda kerajaan untuk memperluaskan ekonomi digital. Apabila ramai pengguna e-wallet, perniagaan juga dapat bergerak ke arah sistem pembayaran tanpa tunai, menjadikan urusan jual beli lebih efisien dan pantas.
Malah, perniagaan kecil seperti pasar malam, gerai-gerai makanan, dan peniaga jalanan juga boleh menggunakan e-wallet untuk menerima bayaran, membuka peluang kepada mereka untuk menarik lebih ramai pelanggan. Penggunaan teknologi ini boleh diibaratkan seperti sendawan tumbuh selepas hujan.
Penutup
Kesimpulannya, e-wallet menawarkan pelbagai kebaikan kepada pengguna dan juga kepada ekonomi negara. Penggunaan e-wallet juga menyokong transformasi digital negara dan meningkatkan daya saing perniagaan. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah mengambil peluang ini dengan memanfaatkan teknologi e-wallet demi kesejahteraan diri dan kemajuan negara. Semoga setiap inisiatif untuk memajukan diri dan masyarakat kita disokong dan diadaptasi mengikut sela masa yang sesuai. Sekiranya teknologi itu memberikan lebih banyak manfaat daripada keburukan, nescaya penting untuk kita menggunakan sebaik mungkin.
Rel : menjimatkan wang, untuk membayar,