Manusia melalui pelbagai evolusi dari tahun ke tahun sebagai satu tanda kemajuan yang lebih baik dari hari sebelumnya. Begitu juga pelajar yang perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan membuat latihan tambahan untuk menjadi seorang pelajar atau insan yang lebih baik daripada semalam. Di bawah dikongsikan contoh karangan kebaikan internet dalam kalangan masyarakat sebagai rujukan untuk semua.
Berdasarkan sejarah, Internet mula dibangunkan pada tahun 1969 sebagai satu kajian kaedah rangkaian tanpa pusat oleh Amerika Syarikat. Pada sekitar tahun 1990-an, Internet telah berkembang dan mula dikomersialkan. Sehingga hari ini, pelbagai teknologi telah tercipta dengan adanya hubungan rangkaian Internet seperti penstoran awan, perbankan digital dan komunikasi tanpa had. Namun begitu, setiap ciptaan manusia mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kita sendiri perlu bijak memanfaatkan sepenuhnya kebaikannya dan cuba mengelak daripada keburukannya.
Contoh Karangan Kebaikan Internet Dalam Kalangan Masyarakat (Manfaat/ Faedah Penggunaan)
Sekiranya anda mencari bahan bacaan atau rujukan berkenaan contoh karangan Bahasa Melayu, berikut adalah salah satu contoh karangan bekaitan Manfaat Internet Dalam Masyarakat masa kini. Contoh berikut disertakan dua isi penting tambahan beserta huraian yang menarik untuk rujukan para pelajar.
Pendahuluan
Internet telah menjadi satu keperluan dalam kehidupan kita pada zaman moden ini. Bukan sahaja sebagai medium untuk berkomunikasi, malah ia juga berperanan sebagai alat utama dalam pelbagai aspek kehidupan seharian. Setiap lapisan masyarakat, tidak kira umur atau latar belakang, pasti mendapat manfaat daripada penggunaan internet.
Internet bukan sahaja memudahkan kehidupan, malah membuka ruang untuk pelbagai peluang baharu. Daripada pekerjaan, perniagaan malah pasangan hidup juga boleh dijumpai melalui Internet. Satu teknologi yang merentas masa dan tempat ini seharusnya dimanfaat sepenuhnya oleh setiap ahli masyarakat dan tidak menyalahguna. Oleh sebab itu, mari kita jelaskan beberapa manfaat penggunaan internet kepada masyarakat supaya penghargaan kepada teknologi ini digunakan sebaik mungkin.
Isi 1 – Mendapatkan maklumat dengan lebih pantas dan tepat
Antara kebaikan utama teknologi internet adalah memudahkan kita untuk mendapatkan maklumat dengan lebih pantas dan tepat. Sebelum ini, kita terpaksa pergi ke perpustakaan atau membaca surat khabar untuk mendapatkan maklumat, namun kini dengan hanya beberapa klik sahaja, kita boleh mencari segala jenis maklumat di hujung jari.
Contohnya, pelajar boleh menggunakan internet untuk mencari bahan rujukan untuk tugasan sekolah atau untuk mempelajari topik yang sukar difahami di dalam kelas. Bagi orang dewasa pula, internet memudahkan mereka untuk mendapatkan maklumat terkini tentang berita dunia, teknologi, dan pelbagai isu semasa. Hal ini jelas menunjukkan bahawa internet telah meningkatkan akses kepada ilmu pengetahuan dengan lebih meluas.
Isi 2 – Memudahkan komunikasi
Pada masa yang sama, internet juga memudahkan komunikasi antara individu dan juga antara komuniti. Melalui ciptaan aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp, dan Instagram, masyarakat kini boleh berhubung dengan keluarga, rakan-rakan, atau kenalan yang berada jauh dari mereka dengan lebih mudah. Dengan hanya menekan butang di telefon pintar, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di mana sahaja.
Internet juga telah memperkenalkan konsep komunikasi masa nyata, di mana kita boleh berhubung dengan seseorang pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Sebagai contoh, individu yang bekerja di luar negara boleh berkomunikasi dengan keluarga mereka di Malaysia dengan menggunakan panggilan video atau teks tanpa perlu risau tentang jarak yang jauh. Ini menunjukkan bahawa internet telah menghubungkan kita tanpa batasan geografi.
Isi 3 – Membuka peluang perniagaan dalam talian
Seterusnya, internet juga telah membuka peluang kepada masyarakat untuk menjalankan perniagaan dalam talian. E-dagang atau perniagaan dalam talian kini menjadi salah satu sektor yang paling pesat berkembang di dunia. Individu yang tidak mempunyai modal besar untuk membuka kedai fizikal kini boleh memulakan perniagaan mereka melalui platform dalam talian seperti Shopee, Lazada, dan Instagram.
Tambahan pula, internet telah memudahkan urusan jual beli dan promosi produk dengan lebih efisien dan meluas. Dalam masa yang sama, internet juga membuka peluang kepada para pekerja bebas (freelancer) untuk menawarkan perkhidmatan mereka seperti menulis, menterjemah, dan mereka bentuk grafik melalui platform seperti Fiverr dan Upwork. Ini telah memberikan masyarakat akses kepada pendapatan tambahan melalui pekerjaan secara dalam talian.
Isi 4 – Meningkatkan tahap pendidikan
Internet juga berperanan besar dalam dunia pendidikan. Dengan perkembangan teknologi internet, pendidikan kini bukan sahaja terhad di dalam bilik darjah, malah boleh diakses di mana-mana sahaja melalui pembelajaran dalam talian. Pelajar boleh mengikuti kursus-kursus secara dalam talian melalui platform seperti Udemy, Coursera, dan Khan Academy, yang menawarkan pelbagai jenis kursus yang berkualiti.
Malah, semasa pandemik COVID-19, internet telah menjadi medium utama bagi pembelajaran jarak jauh, di mana pelajar dan guru berinteraksi melalui platform seperti Google Classroom dan Zoom. Intihannya, internet telah memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan tahap pendidikan mereka dengan lebih mudah dan fleksibel.
Isi 5 – Membuka ruang hiburan yang baru
Selain pendidikan, internet juga memberi manfaat kepada masyarakat dari segi hiburan dan rekreasi. Melalui platform seperti YouTube, Netflix, dan Spotify, masyarakat kini boleh menonton filem, mendengar muzik, dan mengikuti program hiburan tanpa perlu pergi ke pawagam atau membeli cakera padat.
Selain itu, internet juga membuka ruang kepada individu yang kreatif untuk berkongsi bakat mereka dengan dunia melalui platform seperti TikTok dan Instagram. Hal ini bukan sahaja membolehkan masyarakat menikmati pelbagai jenis hiburan, malah memberi peluang kepada individu untuk mencipta nama dalam industri hiburan secara dalam talian.
Isi 6 – Meningkatkan kesedaran sosial dan politik
Akhir sekali, internet juga berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran sosial dan politik dalam kalangan masyarakat. Internet telah menjadi medium untuk masyarakat menyuarakan pendapat, berkongsi isu-isu semasa, dan melibatkan diri dalam perbincangan mengenai pelbagai topik yang penting.
Contohnya, melalui media sosial, individu boleh mengakses maklumat tentang pilihan raya, dasar kerajaan, dan isu-isu yang melibatkan hak asasi manusia. Ini membolehkan masyarakat untuk menjadi lebih peka dan bertanggungjawab terhadap perkembangan dalam negara dan dunia. Internet telah membuka ruang untuk masyarakat menyuarakan pendapat mereka secara terbuka dan demokratik.
Penutup
Kesimpulannya, internet telah memberikan pelbagai kebaikan kepada masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan. Daripada pendidikan, perniagaan, komunikasi, hingga kepada hiburan dan kesedaran sosial. Internet telah memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk kehidupan kita pada hari ini. Namun begitu, sebagai pengguna internet, kita perlu menggunakan kemudahan ini dengan bijak dan bertanggungjawab supaya internet dapat terus memberikan manfaat kepada masyarakat tanpa menjejaskan keharmonian dan keselamatan kita. Persis kata peribahasa Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih.
Rel : masyarakat yang berminda kelas pertama, teknologi maklumat, atas talian, kehidupan masyarakat, katak di bawah tempurung, memberikan seribu satu,