Kepentingan Amalan Menabung (Faedah)

Sebagai pelajar, berapakah jumlah wang saku yang anda selalu terima untuk perbelanjaan harian di sekolah? Daripada jumlah tersebut, berapa pula yang anda ketepikan untuk simpanan? Topik berkaitan kewangan ini mustahak untuk pelajar cakna terhadap kepentingannya di usia muda. Oleh itu, di bawah dikongsikan contoh karangan Kepentingan Amalan Menabung (Faedah) untuk rujukan semua.

Jabatan Insolvensi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 30,000 golongan belia berusia 35 tahun dan ke bawah diisytiharkan bankrap. Kenyataan yang membimbangkan ini perlu diambil perhatian kerana ahli masyarakat kurang sedar kepentingan pengurusan kewangan yang baik. Jika perkara ini tidak diselesaikan, ekonomi negara akan terjejas kerana kuasa membeli berkurangan disebabkan jumlah kemuflisan meningkat.

Contoh Karangan Kepentingan Amalan Menabung Faedah

Contoh Karangan Kebaikan Amalan Menabung (Faedah)

Ikuti perkongsian berkenaan contoh karangan Kepentingan Amalan Menabung di bawah. Sebagai pelajar anda digalakkan untuk membaca dan membuat latihan tambahan sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan atau pentaksiran.

Pendahuluan

Amalan menabung adalah satu tabiat yang baik dan sangat bermanfaat. Lebih-lebih lagi dalam kehidupan kita yang sentiasa berhadapan dengan cabaran kewangan dan kedudukan ekonomi yang tidak menentu. Menabung bermaksud menyimpan sebahagian daripada pendapatan atau wang saku untuk kegunaan masa depan.

Walaupun nampak mudah dan remeh, amalan ini mampu memberi impak yang besar kepada seseorang individu. Khususnya bagi golongan pelajar dan belia yang masih dalam proses membentuk disiplin kewangan kukuh. Oleh itu, kita harus sedar tentang kepentingan dan faedah yang boleh diperoleh daripada amalan menabung ini.

Isi 1 – Menyediakan dana kecemasan

Pertama sekali, menabung dapat membantu kita menyediakan dana kecemasan. Dalam hidup, pelbagai perkara yang tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa seperti kemalangan, sakit atau kerosakan barangan. Dengan adanya simpanan yang mencukupi, kita tidak perlu terlalu bergantung kepada bantuan orang lain apabila menghadapi situasi kecemasan ini.

Contohnya, jika telefon bimbit kita rosak secara tiba-tiba, kita tidak perlu meminta duit daripada ibu bapa kerana kita sudah ada simpanan sendiri. Oleh itu, menabung dapat memberikan rasa tenang dan keyakinan. Hal ini kerana kita tahu bahawa kita mempunyai simpanan yang cukup untuk menghadapi perkara-perkara yang tidak diduga.

Isi 2 – Membantu dalam perancangan kewangan

Menabung juga boleh membantu dalam perancangan kewangan jangka panjang. Apabila kita mula menabung dari usia muda, kita akan dapat mengumpul jumlah wang yang besar menjelang dewasa. Ini boleh digunakan untuk mencapai matlamat besar dalam hidup seperti membeli rumah, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, atau memulakan perniagaan.

Tamsilnya, jika seorang pelajar menabung sejak di bangku sekolah, dia mungkin sudah mempunyai sejumlah wang yang mencukupi untuk membayar yuran universiti. Bagi golongan remaja pula boleh membeli kenderaan pertama selepas tamat persekolahan. Dengan kata lain, menabung membolehkan kita merancang masa depan dengan lebih baik dan menyediakan dana yang diperlukan untuk mencapai matlamat hidup.

Isi 3 – Lebih berdisiplin dalam menguruskan kewangan

Di samping itu, amalan menabung juga boleh mengajar kita untuk menjadi lebih berdisiplin dalam menguruskan kewangan. Apabila kita berusaha untuk menyimpan sebahagian daripada pendapatan atau wang saku, kita secara tidak langsung belajar bagaimana untuk berbelanja dengan berhemah dan mengelakkan pembaziran. Ini dapat membentuk sikap tanggungjawab dalam diri.

Kita akan lebih bijak dalam menguruskan wang dan tidak menghabiskan semua pendapatan pada perkara yang tidak penting. Misalnya, jika kita mempunyai RM50, kita boleh menetapkan bahawa sekurang-kurangnya RM10 daripada jumlah itu akan disimpan sebagai tabungan. Sikap ini, apabila dipraktikkan dengan konsisten, akan menjadi satu tabiat baik yang dapat membantu kita pada masa hadapan.

Isi 4 – Membantu mengambil peluang yang ada

Tambahan pula, amalan menabung juga membolehkan kita mengambil peluang yang berharga pada masa hadapan. Dalam kehidupan, ada banyak peluang yang datang secara tiba-tiba seperti pelaburan yang baik, peluang melancong, atau promosi barangan yang ditawarkan dengan harga rendah. Jika kita mempunyai simpanan yang mencukupi, kita dapat merebut peluang-peluang ini tanpa perlu meminjam wang daripada orang lain atau mengabaikan peluang tersebut.

Sebagai contoh, jika kita ingin membeli komputer riba yang dijual dengan harga diskaun yang sangat murah, kita tidak perlu risau kerana kita sudah ada simpanan yang mencukupi untuk membelinya. Oleh sebab itu, menabung bukan sahaja memberi kita kebebasan kewangan, malah membolehkan kita merebut peluang yang boleh membawa manfaat kepada diri kita.

Isi 5 – Langkah awal untuk mencapai kebebasan kewangan

Menabung juga boleh menjadi  langkah awal untuk kita mencapai kebebasan kewangan. Apabila kita mula menyimpan wang dari awal, kita akan mempunyai simpanan yang cukup besar apabila kita dewasa. Ini membolehkan kita untuk tidak bergantung kepada orang lain dari segi kewangan dan bebas untuk membuat keputusan tentang kehidupan kita tanpa terlalu terikat dengan kewangan.

Contohnya, dengan simpanan yang mencukupi, kita boleh memilih untuk tidak bekerja buat sementara waktu jika kita ingin melanjutkan pelajaran atau mengikuti minat kita yang lain seperti melancong atau menjadi usahawan. Kebebasan kewangan ini memberi kita lebih banyak pilihan dalam hidup dan mengurangkan tekanan kewangan.

Isi 6 – Memberikan kepuasan dan ketenangan diri

Akhir sekali, amalan menabung juga boleh memberikan kepuasan dan ketenangan dalam diri. Apabila kita melihat jumlah simpanan kita semakin bertambah dari hari ke hari, kita akan merasa lebih yakin dan puas hati kerana kita tahu bahawa kita telah berusaha untuk menyediakan masa depan yang lebih baik.

Ketenangan ini datang apabila kita tahu bahawa kita tidak perlu risau tentang keadaan kewangan kita pada masa akan datang kerana kita sudah mempunyai simpanan yang mencukupi. Sebagai contoh, seorang pelajar yang menabung untuk membeli telefon pintar impiannya akan merasa sangat bangga dan puas hati apabila dia berjaya membeli telefon tersebut dengan hasil simpanannya sendiri.

Penutup

Kesimpulannya, amalan menabung mempunyai banyak kebaikan yang boleh memberi manfaat jangka panjang kepada individu. Justeru, kita harus memulakan amalan menabung dari sekarang walaupun dengan jumlah yang kecil kerana setiap sen yang kita simpan hari ini akan memberi manfaat besar pada masa akan datang. Perancangan kewangan adalah satu elemen kehidupan yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Dalam menapati visi mencapai tahap negara maju, kita memerlukan ahli masyarakat yang bijak dan cakna dalam menguruskan kewangan. Amalkan pepatah “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit” dan mulakanlah menabung hari ini untuk masa depan yang lebih cerah.

Rel : sediakan payung sebelum hujan, anak anak, wang simpanan, untuk menjamin masa, kewangan untuk, mengamalkan sikap,

Tinggalkan Balasan