Antara objektif ujian penulisan karangan Bahasa Melayu adalah untuk menguji pengetahuan pelajar terhadap sesuatu isu dan juga terhadap penguasaan Bahasa Melayu. Para pelajar perlu memilih soalan atau tajuk yang mampu dijawab dengan memberikan pengetahuan yang tepat dahulu sebelum merangka penulisan karangan yang menarik. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri Dalam Kehidupan sebagai rujukan.
Kebersihan diri adalah perilaku seperti mandi, menggosok gigi, memotong kuku dan memakai pakaian yang bersih serta kemas. Manakala menjaga kesihatan diri adalah tindakan untuk bersenam, bersukan, mengamalkan pemakanan seimbang dan juga mendapatkan tidur yang cukup. Anda seharusnya mengaitkan dua amalan yang baik ini dan senaraikan kepentingannya dalam kehidupan agar menjadi satu iktibar kepada kita.
Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri Dalam Kehidupan Seharian
Di bawah adalah contoh karangan bagi tajuk: Kepentingan Menjaga Kebersihan Diri & Kesihatan Dalam Kehidupan. Terdapat enam isi-isi penting yang berkenaan dan boleh digunakan untuk karangan lain yang berkaitan dengan tajuk atau isu kesihatan dan kebersihan diri.
Pendahuluan
Kesihatan dan kebersihan diri adalah aspek yang penting dalam kehidupan manusia. Ia bukan sahaja memastikan seseorang individu untuk kelihatan kemas dan terurus, malah turut mempengaruhi kesihatan fizikal dan juga mental. Menjaga kebersihan diri melibatkan amalan harian yang mudah tetapi membawa kesan yang besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan hidup. Persis kata peribahasa Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Setiap di antara kita perlu cakna dan mengambil tanggungjawab ini sebagai satu cara untuk menyayangi dan menghargai diri sendiri. Jika kita mampu dan berjaya menjaga kesihatan dan kebersihan diri, secara tidak langsung akan mempengaruhi ahli keluarga atau rakan-rakan yang lain untuk turut sama melakukan amalan yang bermanfaat ini. Oleh itu, mari kita bincangkan topik di atas untuk pengetahuan semua.
Isi 1 – Terhindar daripada penyakit
Dengan menjaga kebersihan diri, kita dapat mencegah penyebaran penyakit. Contohnya, mencuci tangan dengan sabun sebelum makan dan selepas menggunakan tandas dapat mengelakkan penyebaran bakteria yang boleh menyebabkan penyakit seperti cirit-birit dan selesema. Ramai dia antara kita semakin waspada terhadap kebersihan ini selepas pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Rangkaian penyakit berjangkit dapat diputuskan sekiranya kita menjaga kebersihan diri kita sebagai langkah pencegahan pertama.
Begitu juga dengan amalan menjaga kesihatan diri seperti bersenam atau bersukan. Individu yang melakukan senaman atau bersukan akan memastikan fungsi organ dalaman serta anggota-anggota badan berfungsi dengan baik. Kekuatan imun yang dibentuk akan menghalang penyakit daripada menyerang kita. Ibarat kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat. Jelas bahawa menjaga kebersihan dan kesihatan dapat menghindarkan kita daripada penyakit.
Isi 2 – Meningkatkan kecerdasan minda dan kecergasan diri
Apabila kesihatan dan kebersihan diri dijaga, seseorang itu akan lebih cergas dan bertenaga. Mereka yang menjaga kesihatan biasanya akan melakukan senaman secara berkala. Amalan ini dapat membantu seseorang untuk mengekalkan kecergasan badan. Senaman juga baik untuk kesihatan jantung, mengawal berat badan, dan membentuk mood yang lebih baik.
Kesan daripada kecerdasan minda dan kecergasan diri berada pada tahap yang baik, kita dapat meningkatkan produktiviti diri dalam menjalankan tugas harian, sama ada di tempat kerja, di sekolah, atau menyelesaikan kerja-kerja rumah. Kesihatan yang baik juga membolehkan seseorang itu menumpukan perhatian dengan lebih baik dan menyelesaikan tugas dengan lebih cekap. Izharnya, kecerdasan dan kecergasan dapat ditingkatkan melalui penjagaan keberishan dan kesihatan diri
Isi 3 – Membina ketrampilan diri yang lebih baik
Pada masa yang sama, menjaga kebersihan diri dapat meningkatkan keyakinan diri. Orang yang kelihatan kemas dan bersih biasanya akan tampil lebih yakin dalam berinteraksi dengan orang lain. Penampilan yang baik juga dapat memberi kesan yang positif kepada persepsi orang lain terhadap diri kita, terutamanya dalam situasi profesional seperti semasa temuduga kerja.
Orang yang menjaga kebersihan diri juga sentiasa berusaha untuk kelihatan lebih menarik dan kemas. Tamsilnya, amalan menggosok pakaian, memakai bauan yang harum dan memotong kuku adalah amalan orang yang menjaga kebersihan diri serta membentuk ketrampilan yang menarik. Natijahnya, menjaga kebersihan dan kesihatan diri dapat membina ketrampilan yang terbaik untuk diri sendiri.
Isi 4 – Menjadikan persekitaran lebih selesa dan baik
Dari satu sudut pandang yang lain, kebersihan dan kesihatan diri penting untuk menjadikan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif. Cuba bayangkan jika kita tidak menjaga kebersihan diri seperti tidak mandi, tidak gosok gigi dan memakai pakaian tanpa mencucinya? Pastinya persekitaran akan menjadi busuk dan kotor. Oleh sebab itu, bakteria dan kuman akan merebak dan membiak dengan berleluasa.
Akhirnya, penyakit akan menyerang dan ramai manusia akan terkorban. Justeru, penting untuk kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri demi persekitaran kita. Jika kita pandai untuk menjaga kebersihan diri, pasti juga kebersihan persekitaran seperti rumah dan tempat kerja mampu untuk kita jamin kebersihannya. Maka Kebersihan dan kesihatan diri penting untuk memastikan persekitaran kita selesa dan selamat.
Isi 5 – Membentuk disiplin diri
Menjaga kebersihan diri sering kali berkait rapat dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Orang yang menjaga kebersihan diri biasanya juga akan mengambil berat tentang pemakanan, senaman, dan rehat yang mencukupi. Ini semua adalah elemen yang penting dalam menjaga kesihatan secara menyeluruh.
Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat penting untuk menjaga kesihatan badan. Kurangkan pengambilan makanan berminyak, bergula, dan berlemak. Lebihkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin penuh. Tidur yang mencukupi penting untuk pemulihan badan dan minda. Pastikan anda mendapat sekurang-kurangnya 7-8 jam tidur setiap malam untuk memastikan badan mendapat rehat yang mencukupi.
Isi 6 – Membentuk kesihatan mental yang baik
Kesihatan mental turut dipengaruhi oleh kebersihan diri. Orang yang hidup dalam persekitaran yang bersih dan teratur cenderung untuk berasa lebih tenang dan kurang stres. Sebaliknya, persekitaran yang kotor dan tidak terurus boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan. Oleh itu, menjaga kebersihan diri bukan sahaja penting untuk kesihatan fizikal, tetapi juga untuk kesihatan mental.
Secara tidak langsung, kita akan belajar menguruskan stres dengan baik untuk menjaga kesihatan mental. Aktiviti seperti meditasi, membaca, dan menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan dapat membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi lebih lebih lagi di dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada hari ini.
Penutup
Menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah aspek penting dalam kehidupan yang tidak boleh diabaikan. Ia bukan sahaja memastikan kita kelihatan kemas dan terurus, tetapi juga mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental kita. Amalan menjaga kebersihan diri dan kesihatan perlu diterapkan dalam kehidupan seharian untuk mencegah penyakit, meningkatkan keyakinan diri, dan menggalakkan gaya hidup sihat. Dengan menitikberatkan aspek-aspek ini, kita dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat, bahagia, dan produktif.
Rel : mengurangkan risiko penyakit, salah satu, memainkan peranan penting,