Bermula daripada sekolah rendah khususnya sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pelajar akan mempelajari mata pelajaran sains dan reka bentuk teknologi. Mata pelajaran ini penting dalam membentuk pengetahuan pelajar terhadap perkembangan sains dan teknologi pada hari ini. Di bawah dikongsikan contoh karangan bertajuk Kepentingan Sains Dan Teknologi Dalam Kehidupan sebagai rujukan untuk semua.
Apabila sesebuah perkara itu perlu dididik kepada anak-anak muda, jelas bahawa kepentingannya dalam kehidupan pada masa kini dan akan datang. Lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini yang menjadikan sains dan teknologi sebagai asas penemuan atau penciptaan perkara yang baharu. Justeru, mustahak untuk pelajar mengetahui kepentingannya supaya apa yang dipelajari difahami dan memberi makna yang cukup untuk menyumbang kepada negara menjelang alam pekerjaan kelak.
Contoh Karangan Kepentingan Sains Dan Teknologi Dalam Kehidupan
Perkongsian berkaitan contoh karangan berkaitan Faedah dan Kebaikan Menggunakan Sains Dan Teknologi Dalam Kehidupan adalah seperti berikut. Para pelajar boleh menulis karangan sendiri sebagai latihan tambahan merujuk kepada isi-isi penting yang dikongsikan.
Pendahuluan
Sains dan teknologi merupakan dua aspek yang semakin tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia pada hari ini. Kedua-dua bidang ini memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk kehidupan yang lebih baik dan memajukan tamadun manusia. Ia boleh diibaratkan seperti beliung dengan asahan.
Di sekeliling kita, setiap kemudahan dan alat yang digunakan dalam kehidupan seharian berkait rapat dengan kemajuan sains dan teknologi. Tanpa kita sedari, sebahagian besar norma kita pada hari ini tidak boleh dilaksanakan jika tiada teknologi telefon pintar, rangkaian internet dan ubat-ubatan terkini. Oleh sebab itu, kita akan membincangkan kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian serta bagaimana ia memberi impak besar kepada perkembangan masyarakat dan negara.
Isi 1 – Menyelesaikan banyak masalah
Pertama sekali, sains dan teknologi menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh manusia. Dengan adanya kemajuan dalam sains, manusia mampu mengatasi pelbagai cabaran, terutamanya dalam bidang kesihatan, makanan, dan tenaga. Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, teknologi moden seperti penciptaan vaksin dan rawatan penyakit kritikal telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa.
Selain itu, green technology yang menggunakan sumber tenaga diperbaharui seperti tenaga solar dan angin membantu mengatasi masalah kekurangan sumber tenaga dan pencemaran alam sekitar. Oleh itu, jelaslah bahawa sains dan teknologi merupakan penyelesaian kepada masalah global yang rumit dan kompleks.
Isi 2 – Membantu dalam pembinaan teknologi baharu
Selain itu, sains dan teknologi juga membantu dalam pembinaan teknologi baharu. Kehidupan kita kini dipermudahkan dengan adanya alat-alat canggih seperti telefon pintar, komputer, dan kenderaan yang berasaskan teknologi moden. Perkembangan teknologi ini tidak akan berlaku tanpa kajian mendalam dalam bidang sains.
Contohnya, kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membolehkan manusia berhubung antara satu sama lain dengan lebih pantas dan efisien. Kemajuan dalam teknologi seperti ini juga telah melahirkan peluang perniagaan dalam talian yang memberikan impak besar kepada ekonomi global. Justeru, kemajuan sains dan teknologi terus mendorong kepada penciptaan inovasi yang memudahkan kehidupan manusia.
Isi 3 – Meningkatkan tahap pendidikan
Di samping itu, sains dan teknologi memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap pendidikan di seluruh dunia. Melalui teknologi, proses pembelajaran menjadi lebih menarik dan berkesan. Penggunaan alat-alat seperti komputer, projektor, dan aplikasi dalam talian membolehkan pelajar mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat.
Selain itu, pembelajaran jarak jauh juga dapat dilaksanakan dengan bantuan teknologi, terutamanya semasa situasi seperti pandemik COVID-19 yang menyebabkan sekolah-sekolah terpaksa ditutup. Sains dan teknologi juga membolehkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih meluas, di mana hasil-hasil kajian saintifik dapat dimanfaatkan untuk memperbaiki sistem pendidikan dan proses pengajaran.
Isi 4 – Melahirkan tamadun manusia yang lebih baik
Selanjutnya, sains dan teknologi melahirkan tamadun manusia yang lebih baik. Dalam sejarah tamadun manusia, perkembangan sains dan teknologi sentiasa menjadi asas kepada kemajuan sesebuah bangsa. Misalnya, tamadun Islam pada zaman kegemilangannya banyak menyumbang kepada ilmu sains, matematik, dan perubatan, yang kemudiannya menjadi asas kepada kemajuan Barat pada era Renaisans.
Pada masa kini, kemajuan dalam sains dan teknologi juga telah meningkatkan taraf hidup manusia secara keseluruhan. Dengan adanya kemudahan seperti air bersih, tenaga elektrik, dan rawatan perubatan yang moden, manusia mampu menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera. Tanpa sains dan teknologi, kehidupan manusia mungkin masih terperangkap dalam kegelapan zaman lampau.
Isi 5 – Membuka peluang baharu
Tambahan lagi, sains dan teknologi membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang. Dalam dunia yang semakin berkembang pesat ini, bidang pekerjaan yang berasaskan teknologi seperti teknologi maklumat, kejuruteraan, dan bioteknologi semakin mendapat permintaan tinggi. Ini bermakna, dengan penguasaan dalam bidang sains dan teknologi, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
Selain itu, sains dan teknologi juga membolehkan manusia meneroka bidang baharu seperti angkasa lepas, di mana misi angkasa seperti yang dilakukan oleh NASA dan SpaceX membuktikan bahawa kita mampu meneroka kehidupan di luar planet Bumi. Ini memberikan kita peluang untuk mengembangkan pengetahuan dan potensi manusia ke tahap yang lebih tinggi.
Isi 6 – Memelihara Alam Semula Jadi
Akhir sekali, pemeliharaan alam semula jadi dapat dilaksanakan dengan perkembangan sains dan teknologi. Apabila manusia beralih ke fasa perindustrian komersial, banyak sisa kimia dan pencemaran yang merosakkan alam sekitar. Ketamakan pihak korporat dan permintaan yang tinggi kerana jumlah penduduk di muka bumi ini yang meningkat dari tahun ke tahun hanya telah mengancam kelestarian alam semula jadi kita pada hari ini.
Tamsilnya, kejadian bencana alam yang semakin kerap berlaku disebabkan oleh kelakuan manusia seperti membalak dan menaikkan paras air laut tanpa memikirkan kesannya pada masa akan datang. Bak kata mutiara, kita hanya meminjam bumi ini daripada generasi akan datang. Maka, dengan perkembangan sains dan teknologi, kita dapat melakukan lebih banyak pembangunan yang lestari tanpa memusnahkan alam semula jadi. Jelas bahawa sains dan teknologi penting demi memelihara alam semula jadi yang ada hanya di muka bumi ini dan tanpanya kita tidak akan ada kediaman lain untuk dihuni.
Penutup
Kesimpulannya, sains dan teknologi adalah nadi utama dalam membentuk kehidupan yang lebih baik dan memajukan tamadun manusia. Dari menyelesaikan masalah sehinggalah membuka peluang baharu, sains dan teknologi telah memberi impak besar kepada semua aspek kehidupan kita. Oleh itu, kita perlu menghargai kepentingan sains dan teknologi serta terus menyokong usaha-usaha untuk mengembangkan ilmu pengetahuan dalam kedua-dua bidang ini. Dengan cara ini, kita dapat memastikan bahawa kemajuan sains dan teknologi akan terus memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang, serta membawa kepada pembangunan yang lebih mapan dan berdaya saing.
Rel : membantu manusia untuk, kemajuan dalam bidang sains, isi penting, tahap kesihatan,