Kesan Bencana Alam Kepada Negara (Implikasi)

Perhatian kepada pelajar yang mencari sumber tambahan untuk rujukan atau latihan penulisan karangan Bahasa Melayu. Adakah anda mencari karangan bertemakan bencana alam? Kejadian pokok tumbang yang kerap berlaku baru-baru ini pastinya memberikan ruang untuk tema ini digunakan oleh guru dalam peperiksaan atau pentaksiran kerana berkaitan dengan isu semasa. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan Kesan Bencana Alam Kepada Negara (Implikasi) untuk panduan semua.

Bencana alam merupakan kejadian aktiviti semula jadi yang mampu memusnahkan pelbagai harta benda dan juga nyawa. Di Malaysia, antara bencana alam yang sering berlaku adalah kejadian banjir besar, banjir kilat dan tanah runtuh. Keadaan geografi negara kita membuatkan pelbagai kawasan di negara ini terdedah kepada bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Justeru, penting untuk kita sebagai pelajar mengetahui kesannya agar tindakan untuk mencegah dan menangani perkara ini dapat dilaksanakan.

Contoh Karangan Kesan Bencana Alam Kepada Negara Implikasi

Contoh Karangan Kesan Bencana Alam Kepada Negara (Implikasi)

Di bawah adalah contoh karangan bertajuk Impak Buruk Bencana Alam Kepada Negara. Rujuk contoh di bawah yang disertakan dengan isi-isi penting berkaitan dengan tajuk karangan yang dipilih.

Pendahuluan

Kedudukan negara Malaysia yang terletak di garisan khatulistiwa menjadikan iklim negara kita Mempunyai cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun. Tanah air ini mempunyai ciri suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Selain daripada dikelilingi oleh lautan, kawasan darat juga dipenuhi dengan gunung-ganang serta banjaran yang diliputi  dengan hutan tropika. Kekayaan khazanah alam ini satu anugerah yang amat berharga namun kini menjadi satu isu yang merunsingkan masyarakat.

Perkembangan pembangunan yang kini merebak dari kawasan bandar ke luar bandar untuk menampung keperluan negara telah menyebabkan kawasan seperti hutan digondolkan. Kesannya, berlaku bencana alam seperti banjir yang melibatkan kerugian kepada masyarakat setempat. Oleh sebab itu, penting untuk kita mengetahui impak buruk Bencana Alam Kepada Negara atau implikasinya supaya polemik ini dapat diselesaikan. Persis kata mutiara, sediakan payung sebelum hujan kerana dengan mengetahui kesan-kesan ini, kita dapat memberi kesedaran dan tindakan untuk mengelakkan bencana alam daripada berlaku.

Isi 1 – Kerosakan Infrastruktur

Antara kesan yang paling utama jika berlaku bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi adalah kerosakan infrastruktur. Apabila bencana alam melanda sesebuah kawasan penduduk, pastinya jalan raya akan menjadi rosak, rumah akan ditelenggami dan kereta juga akan rosak jika tenggelam di dalam banjir. Kerosakan ini akan memberikan kesan kepada penduduk yang terbabit kerana perlu menanggung kerugian dan kerosakan yang mengambil masa untuk dibaiki semula.

Walaupun kerajaan boleh membantu dari segi bantuan wang secara segera, usaha untuk kembali ke rutin biasa apabila seseorang telah mendepani bencana alam seperti banjir memakan masa yang lama. Hal ini kerana jumlah kerugian tersebut kadang kala melibatkan ribuan ringgit. Bahkan, kerajaan mencatatkan negara menanggung kerugian hampir 700 juta pada tahun 2022 berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia. Kesan ini jelas memberikan impak yang sangat besar kepada negara dan juga individu yang terlibat secara langsung menghadapi bencana alam.

Isi 2 – Kehilangan sumber manusia

Sehubungan dengan perkara di atas, kejadian bencana alam akan menyebabkan kehilangan sumber manusia. Terdapat bencana alam yang besar yang mengakibatkan nyawa-nyawa manusia terkorban. Mereka yang terlibat di dalam kejadian bencana alam selain meninggal dunia, ada yang cedera parah dan kanak-kanak hilang tempat bergantung. Situasi ini yang menyebabkan sumber manusia di sesebuah negara menjadi kurang secara tiba-tiba.

Mangsa yang terbabit mungkin merupakan seorang guru yang menabur bakti kepada pelajar di sekolah. Pengalaman dan ilmu yang dimiliki tidak boleh diganti dengan semudah itu. Malahan jika mangsa bencana alam tersebut meninggal dunia dan sebelum ini menyara isteri dan anak-anak yang kini kehilangan sumber pendapatan mereka. Justeru, penting untuk kita mengelakkan kejadian bencana alam supaya nyawa-nyawa yang berharga kepada keluarga, masyarakat dan negara tidak hilang begitu sahaja.

Isi 3 – Penularan penyakit

Kesan lain bencana alam kepada negara adalah berlaku risiko penularan penyakit. Sebagai contoh, apabila berlaku benca seperti banjir yang besar dan melibatkan ribuan penduduk yang terpaksa berteduh di pusat penempatan sementara seperti dewan atau sekolah. Disebabkan banjir, mereka yang terjejas perlu berkongsi tempat tinggal sementara di kawasan yang tidak selesa dan kondusif seperti di rumah. Sumber makanan, air untuk cucian diri dan sebagainya juga terhad.

Situasi ini akan menimbulkan ruang untuk penyakit membiak dan berleluasa dalam kalangan mangsa. Antara penyakit berjangkit yang berisiko ketika banjit berlaku di Malaysia adalah Kolera, Demam kepialu, Leptospirosis dan keracunan makanan. Oleh itu, pihak berwajib perlu sentiasa mengingatkan mangsa yang terbabit dengan bencana alam untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran untuk mengelakkan daripada penyakit merebak. Bak kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat.

Isi 4 – Flora dan fauna kehilangan habitat

Selain itu, bencana alam akan menyebabkan habitat flora dan fauna di negara kita musnah. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan visual tular dimana kemajidan kepala air berlaku di kawasan air terjun yang popular sebagai pusat pelancongan. Kejadian yang bahaya ini bukan sahaja boleh menyebabkan nyawa terkorban tetapi juga memusnahkan flora dan fauna yang berdekatan. Apabila berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, habitat flora dan fauna seperti sungai dan hutan boleh musnah dalam sekelip mata.

Ikan yang sebelum ini tinggal di kawasan hulu sungai akan dibawa arus ke hilir sungai dan menyebabkan mereka sukar untuk membiak seperti biasa. Manakala pokok-pokok akan musnah kerana arus banjir yang kuat menyebabkan kita kehilangan salah satu punca alam yang menyejukkan bumi ini. Habitat flora dan fauna yang dimiliki seharusnya dipelihara supaya ekosistem bumi terjamin dan tidak pupus begitu sahaja.

Isi 5 – Kekurangan sumber makanan

Pada masa yang sama, kejadian bencana alam boleh mengakibatkan kekurangan sumber makanan. Berkait dengan kemusnahan flora dan fauna serta habitatnya, sumber makanan yang kita perlukan juga berpotensi musnah jika ditelenggami banjir, berlaku tanah runtuh dan sebagainya. Hal ini kerana kebanyakan kawasan perladangan atau pertanian terletak di kawasan luar bandar dan berdekatan dengan sumber air seperti sungai atau laut.

Sebagai contoh, kolam ternakan ikan jika ditelenggami banjir akan menyebabkan ikan lari daripada kolam dan merugikan pengusaha. Begitu juga dengan tanaman padi boleh rosak jika ditelanggami air daripada kejadian banjir. Di kawasan tanah tinggi pula menjadi kawasan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan berisiko untuk berlaku tanah runtuh jika tidak dibangunkan dengan kaedah yang betul. Intihannya, bencana alam memberikan implikasi seperti kehilangan sumber makanan.

Isi 6 – Menjejaskan sektor pelancongan

Akhir sekali, implikasi daripada kejadian bencana alam adalah menjejaskan sektor pelancongan. Negara kita dikenali oleh pelancong asing kerana kekayaan alam semula jadi seperti gunung-ganang, pantai dan kepulauan yang mengelilingi tanah air ini. Namun begitu, kawasan tumpuan pelancong ini terdedah kepada kejadian bencana alam kerana kedudukannya yang berada di kawasan pedalaman. Tamsilnya, kejadian kepala air di kawasan air terjun akan menyebabkan kawasan tersebut perlu ditutup dan mengurangkan kunjungan daripada pelancong.

Selain perlu ditutup kerana berlaku kejadian bencana alam, proses untuk membaik pulih kawasan tumpuan pelancong yang terjejas akan memakan masa. Daripada menanggung kerugian akibat infrastruktur yang musnah sehingga kerugian tidak dapat membawa masuk pelancong, implikasi ini amat memberikan kesan kepada industri pelancongan negara. Justeru, setiap pihak wajar memainkan peranan supaya kejadian bencana alam dapat dielakkan di kawasan tumpuan pelancong supaya tidak terjejas punca ekonomi utama bagi penduduk kawasan tersebut.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat pelbagai implikasi terhadap negara jika berlaku kejadian bencana alam. Sebagai manusia, kita tidak mempunyai kuasa untuk menentukan perkara seperti ini untuk tidak berlaku. Tetapi, kita mempunyai maklumat dan kajian yang boleh menjadi rujukan untuk memastikan kejadian bencana alam dielakkan. Kesedaran dan iltizam daripada semua pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan dan kerajaan yang melihat pembangunan di sesuatu tempat sama ada sesuai atau mengundang kejadian bencana alam daripada berlaku. Setiap ahli masyarakat perlu sedar bahawa kita hanya meminjam nikmat kehidupan di bumi ini daripada generasi masa hadapan. Jika pembangunan secara rakus dilaksanakan tanpa sebarang langkah kelestarian dilaksanakan, bukan sahaja kejadian bencana alam tetapi juga kemusnahan kediaman akan berlaku lebih cepat daripada apa yang kita sangkakan. Semoga pemimpin negara kita mencorakkan rangka terbaik untuk kita sebagai ahli masyarakat melakukan tindakan terbaik dalam memastikan kejadian bencana alam tidak meninggalkan kesan yang hebat kepada negara kita.

Tinggalkan Balasan