Salah satu teknik untuk memahirkan diri murid atau pelajar dalam penulisan karangan Bahasa Melayu adalah dengan perbanyakkan membaca. Bacaan tentang isu semasa, kesihatan, keselamatan dan sebagainya dapat membantu anda untuk mendapatkan idea serta menambah perbendaharaan kata yang anda ketahui. Membaca contoh-contoh karangan juga membantu anda untuk menjawab soalan yang berkaitan dengan tajuk yang telah dibaca. Sebagai rujukan berikut dikongsikan contoh karangan Kesan Pembuangan Sisa Domestik Di Malaysia.
Sisa domestik bermaksud sampah sarap yang terhasil di rumah atau kawasan persendirian dan dibuang di pembuangan sampah awam atau di tong sampah milik pihak berkuasa tempatan. Pengurusan sisa domestik di negara kita masih di bawah kawalan namun kita perlu cakna dan bertindak segera dalam mencari alternatif terbaik untuk memastikan sisa domestik kita tidak meninggalkan kesan buruk seperti alam sekitar kepada diri kita ataupun generasi akan datang.
Contoh Karangan Kesan Pembuangan Sisa Domestik Di Malaysia
Sila rujuk contoh karangan yang bertajuk : Kesan Pelupusan Sisa Domestik Di Malaysia di bawah mengikut rangka karangan yang disediakan. Anda boleh menulis semula huraian yang lebih menarik berdasarkan isi-isi penting yang dikongsikan atau menggunakan idea bernas masing-masing.
Pendahuluan
Era pascaglobalisasi dan pascaperindustrian yang serba mencabar akal dan minda kita telah melahirkan pelbagai isu baharu untuk diselesaikan pada setiap hari. Antara isu yang membelenggu masyarakat di seluruh dunia adalah penghasilan sampah atau sisa domestik yang meningkat secara mendadak. Perkembangan jumlah penduduk di seluruh dunia adalah perkara yang positif namun kaedah pelupusan sampah perlu dibaik pulih dan disegerakan supaya bumi ini tidak menjadi tapak pelupusan sampah pada masa akan datang.
Untuk makluman semua, sampah terbahagi kepada beberapa jenis dan salah satunya sisa domestik yang perlu kita uruskan secara individu. Sebagai contoh, setiap hari kita membungkus makanan atau minuman daripada restoran dan kafe. Plastik pembungkusan yang digunakan akan dibuang begitu sahaja dan memakan masa yang sangat lama untuk reput. Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak kesan sekiranya pembuangan sisa domestik di negara kita khususnya diambil mudah. Oleh sebab demikian, mari kita senaraikan kesan-kesan dari pelupusan sisa pepejal di Malaysia sebagai iktibar kepada semua.
Isi 1 – Menyebabkan pencemaran
Kesan utama pembuangan sisa domestik di negara ini adalah berlakunya pencemaran udara, bau, air dan juga darat. Masyarakat umum perlu mengetahui bahawa cara kita melupuskan sampah adalah melalui tapak pelupusan sampah dan sebahagian kecil melalui pusat pembakaran “incinerator“. Sampah yang kita buang secara harian akan dibawa ke tapak pelupusan sampah yang sebelum ini terpencil tetapi disebabkan pembangunan semakin merebak di luar kawasan bandar, sesetengah tapak berdekatan dengan kawasan perumahan dan perindustrian.
Malah tapak pelupusan sisa ini tidak mencukupi untuk menampung jumlah sampah yang dihasilkan. Bayangkan jika kita masih bergantung kepada kaedah yang kuno ini tanpa sebarang kaedah yang lebih baik? Pencemaran bau daripada sampah, udara yang kotor dengan unggas membiak secara liar dan pencemaran tanah dan air yang tergelincir daripada sisa-sisa sampah yang semakin banyak dari hari ke hari. Sesungguhnya Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi dan alangkah ruginya jika ia musnah hanya untuk menampung sisa domestik yang dihasilkna oleh manusia yang tinggal hanya sementara di muka bumi ini.
Isi 2 – Membawa risiko penyakit
Seiring dengan kesan di atas, pembuangan sisa domestik di negara ini terdedah kepada risiko penyakit terhadap penduduk setempat. Kaedah pelupusan sampah secara terbuka mengundang pencemaran untuk berlaku. Pencemaran pula akan menjejasjan kesihatan diri masyarakat yang berdekatan. Tamsilnya, peristiwa yang berlaku di Sungai Kim Kim Pasir Gudang apabila kebanyakan anak-anak murid jatuh sakit selepas menghidu pencemaran udara daripada pembuangan sisa secara haram.
Peristiwa ini jelas menunjukkan pembuangan sisa perlu diuruskan dengan kaedah yang betul supaya ia tidak meninggalkan kesan kepada kesihatan diri kita. Longgokan sisa domestik menjadi tempat penularan wabak penyakit yang disebarkan oleh lalat, lipas dan tikus. nyamuk aedes membiak dalam bekas takungan air dan menyebarkan virus demam denggi. Penyakit taun, malaria dan rotavirus adalah antara wabak penyakit yang berlaku akibat timbunan sisa domestik. Setiap individu dan pihak industri bertanggungjawab untuk memastikan pembuangan sisa-sisa sampah sama ada pepejal ataupun cecair dilupuskan mengikut ketetapan yang digariskan oleh undang-undang.
Isi 3 – Merosakkan tanah
Kesan lain pembuangan sisa domestik di Malaysia adalah ia akan memudaratkan sifat-sifat tanah. Apabila sisa domestik yang dibawa daripada kawasan berpenduduk ke tapak pelupusan sampah, ia akan dilonggokkan di atas tanah terbuka dan menunggu proses semula jadi untuk menguraikan sampah-sampah tersebut. Proses yang memakan masa ini akan merosakkan sifat-sifat tanah yang sepatutnya menjadi kawasan pertumbuhan pokok dan tumbuh-tumbuhan.
Tambahan pula, sisa-sisa domestik yang terdiri daripada pelbagai jenis barang yang mempunyai kandungan bahan kimia yang dicipta di dalam makmal pasti akan mempunyai kesan terhadap tanah. Contohnya, botol air plastik yang mengandungi satu bahan karsinogenik mengambil mas ayang lama untuk terurai di dalam tanah dan jika berlaku larutan ke tempat lain akan menjejaskan kesihatan manusia dan binatang secara tidak langsung. Kemudaratan yang dicipta oleh manusia tanpa sedar ini perlu diberi perhatian dan diuruskan dengan lebih baik demi kemaslahatan kita bersama.
Isi 4 – Ekosistem habitat flora dan fauna akan terganggu
Antara kesan daripada pembuangan sisa domestik yang berlaku di negara kita adalah ekosistem habitat flora dan fauna akan terganggu. Bagi menampung jumlah sisa domestik yang dihasilkan oleh masyarakat pada hari ini. Jumlah tapak pelupusan sisa pepejal telah mencapai sebanyak 160 tapak yang beroperasi. Jumlah yang banyak ini bukan sahaja menyebabkan kawasan tanah digunakan tetapi juga mengancam habitat flora dan fauna yang berfungsi untuk mengimbangi ekosistem semula jadi di negara ini.
Pelupusan sisa domestik secara terbuka akan meningkatkan kesan rumah hijau yang semakin mengancam iklim global dari hari ke hari. Akibatnya, suhu bumi akan meningkat, cuaca menjadi semakin tidak menentu dan memusnahkan flora dan fauna. Kejadian banjir boleh berlaku dan merosakkan tanah-tanah pertanian atau perladangan kerana tercemar daripada sisa-sisa domestik yang mengambil masa untuk dilupuskan. Generasi akan datang pasti kecewa dengan generasi hari ini. Yang membiarkan sisa domestik untuk mengancam habitat flora dan fauna serta merosakkan keseimbangan ekosistem semula jadi muka bumi ini.
Isi 5 – Peningkatan kos pengurusan sisa
Walaupun kempen kitar semula telah diperkenalkan bertahun yang dahulu, masyarakat kita masih gagal untuk membudayakan kitar semula dan pengasingan sampah. Oleh sebab itu, kesan pembuangan ini akan menyebabkan peningkatan kos pengurusan sampah. Pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab di dalam urusan ini lazimnya melantik kontraktor atau syarikat asing untuk menguruskan kutipan dan pembuangan sampah di tapak pelupusan yang telah berdaftar.
Namun jika kita hendak beralih kepada kaedah yang lebih baik seperti pelupusan sisa melalaui pembakaran, kos akan meningkat. Hal ini kerana pihak berkuasa perlu membina sebuah pusat rawatan atau pelupusan sampah melalui pembakaran terkawal. Usaha ini boleh disekalikan dengan kenaikan kutipan cukai. Dan pihak berkuasa perlu proaktif mendekati pihak swasta agar pembinaan “incenerator” yang berkesan dapat dibina. Selagi masyarakat kita tidak mengamalkan kitar semula. Selagi itulah kita perlu mencari alternatif untuk memastikan sisa domestik kita diuruskan dengan baik.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak kesan-kesan negatif pembuangan sisa domestik yang berlaku di dalam negara ini. Jika polemik ini tidak diambil perhatian oleh pemimpin negara. Ianya pasti sukar untuk generasi akan datang untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu masyarakat dunia secara amnya. Berbekalkan kepintaran anak-anak watan, kemampuan kaji dan selidik institusi pengajian tinggi serta pelaksanaan yang efektif oleh agensi kerajaan, saya percaya kita mampu untuk menguruskan sisa domestik kita dengan baik. Semoga simbiosis dapat dibentuk di atas usaha memastikan kesejahteraan ahli masyarakat di seluruh negeri terjamin. Sekaligus membentuk imej yang bersih dan cantik terhadap Malaysia kepada masyarakt umum di dunia.
Rel : hujan lebat jumlah air, pencemaran air, kos penyelenggaraan yang perlu, pihak berkuasa tempatan pbt, sumber air tercemar, banjir kilat, meningkatkan kos penyelenggaraan, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, pembuangan sisa pepejal dan pembersihan awam,