Punca Remaja Kurang Minat Membaca

Antara objektif utama sekolah pada peringkat awal adalah untuk memastikan murid-murid mahir dalam tiga perkara iaitu membaca, menulis dan mengira. Namun begitu salah satu kemahiran tersebut iaitu membaca semakin tidak digunakan oleh golongan remaja hari ini. Berikut dikongsikan contoh karangan punca-punca remaja kurang minat membaca sebagai rujukan untuk pelajar dalam menjawab soalan berkaitan penulisan karangan Bahasa Melayu.

Dalam era modenisasi ketika ini, hampir kebanyakan remaja memiliki telefon pintar berbanding koleksi buku bacaan. Hiburan tanpa limitasi yang ditawarkan di dalam telefon pintar melalui sambungan internet telah menyebabkan minat membaca dalam kalangan remaja semakin merudum. Oleh itu, penting untuk kita mengelakkan remaja terus hanyut dalam dunia tanpa sempadan ini dan mengenal pasti punca-punca lain agar usaha untuk menyemarakkan semula amalan membaca boleh dilaksanakan.

Contoh Karangan Punca Remaja Kurang Minat Membaca

Contoh Karangan Punca Remaja Kurang Minat Membaca (Faktor Penyebab)

Ikuti perkongisan contoh karangan yang berkaitan Faktor Penyebab Kenapa Remaja Kurang Minat Membaca yang dihuraikan dalam bentuk perenggan beserta pendahuluan dan penutup karangan.

Pendahuluan

Pernahkah anda mendengar ungkapan ilmu adalah penyuluh kehidupan? Ungkapan ini memberi maksud bahawa dengan ilmu pengetahuan, ia mampu membimbing diri kita sepanjang menjalani kehidupan di muka bumi ini. Oleh sebab itu, kita sebagai pelajar telah didedahkan kepada pendidikan sejak kanak-kanak melalui prasekolah dan sekolah rendah. Di sekolah pelajar akan melalui proses pembelajaran dan pengajaran oleh guru berpandukan buku mata pelajaran tertentu.

Buku merupakan bahan bacaan yang menjadi panduan kepada kita dalam sesuatu perkara. Untuk membesar menjadi insan yang berminda kelas pertama, kita hendaklah rajin membaca supaya kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Namun begitu, golongan remaja pada hari ini kurang minat terhadap membaca. Pelbagai faktor yang mondorong ke arah masalah ini untuk berlaku dalam kalangan bakal pemimpin negara kita suatu masa nanti. Justeru, mari kita kupas satu demi satu faktor penyebab kenapa remaja kurang minat membaca agar langkah mengatasinya dapat difikirkan.

Isi 1 – Lebih berminat terhadap hiburan berbentuk visual yang interaktif

Salah satu punca utama remaja kurang minat untuk membaca kerana mereka lebih berminat untuk melayani hiburan interaktif yang berbentuk visual. Ledakan perkembangan teknologi pada hari ini telah membuatkan pelbagai gajet mampu milik dimiliki oleh remaja. Walaupun pada awalnya ibu dan bapa memberikan gajet seperti telefon pintar dengan niat untuk membantu komunikasi antara guru dan rakan tetapi sukar untuk menghalang mereka untuk menonton hiburan atau bermain permainan video.

Jika dibandingkan dengan pembacaan buku yang bosan, mengambil masa yang lama untuk selesai serta memerlukan daya pemikiran serta imaginasi tinggi, mereka lebih mudah untuk memilih meluangkan masa di telefon pintar. Permainan video yang juga melibatkan rakan-rakan sebaya untuk bermain bersama akan menambah keseronokan berbanding membaca buku secara berseorangan. Realiti yang perlu dihadapi pada hari ini membuatkan budaya membaca dalam kalangan remaja berkurangan dari hari ke hari.

Isi 2 – Tidak dipupuk oleh ibu, bapa atau ahli keluarga

Pada masa yang sama, minat membaca semakin merudum dalam kalangan remaja adalah kerana kurangnya pupukan daripada ibu, bapa atau ahli keluarga. Pepatah melayu ada berkata, seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul yang bermaksud orang yang hanya tahu memberi nasihat tetapi diri sendiri tidak melakukan perkara demikian. Itulah juga apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini kerana ibu dan bapa kebanyakkannya bekerja untuk menampung keluarga dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

Anak-anak di rumah melihat ibu dan bapa menghabiskan masa melihat telefon selepas waktu bekerja dan kemudian beristirehat. Kalau boleh, ibu dan bapa menetapkan masa seperti satu jam sebelum waktu tidur untuk membaca buku bersama-sama anak-anak supaya rutin harian tersebut menjadi amalan yang lebih diminati pada masa akan datang. Nescaya jika ibu dan bapa memberikan tauladan untuk mengamalkan pembacaan buku dan sebagainya, anak-anak juga akan turut berminat untuk membaca khususnya golongan remaja.

Isi 3 – Kurang akses terhadap bahan bacaan yang sesuai

Di samping itu, remaja pada hari ini kurang berminat untuk membaca kerana tidak mendapat akses kepada bahan bacaan yang sesuai dengan diri mereka. Di sekolah, para pelajar ditawarkan bahan bacaan percuma di perpustakaan sekolah dan boleh dipinjamkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Namun begitu, di rumah pelajar perlu membeli bahan bacaan yang menggunakan kos yang berbeza-beza. Hal ini sedikit sebanyak menyumbang kepada isu kurang minat membaca dalam golongan remaja kerana bahan bacaan yang diminati dijual pada harga yang kurang berkemampuan.

Kemudahan internet yang boleh diakses dihujung jari juga menjadi antara punca bahan bacaan tidak lagi menjadi rujukan utama golongan remaja. Daripada meluangkan masa berkunjung ke perpustakaan atau berkunjung ke kedai buku untuk mencari rujukan, lebih baik mereka melayari alam maya yang mudah dan pantas. Tetapi jika remaja ditemukan dengan bahan bacaan yang diminati, pastinya mereka ingin membaca buku tersebut tanpa memikirkan kos atau halangan untuk mendapatkan bahan bacaan tersebut.

Isi 4 – Tekanan sosial terhadap perkara lain selain membaca

Dari satu sudut pandang yang lain, remaja kurang membaca kerana mereka mempunyai tekanan sosial terhadap perkara lain selain membaca. Sebagai contoh, dahulu remaja akan menghabiskan banyak masa di sekolah dan meluangkan masa bersukan atau menonton televisyen. Tetapi remaja masa kini yang terdedah kepada media sosial lebih gemar mengambil tahu isu-isu semasa berbanding membaca buku yang tidak terkini.

Tekanan sosial untuk berbual tentang minat seperti permainan video yang terkini, filem atau animasi terkini mengambil ruang masa yang digunakan generasi dahulu untuk membaca. Oleh itu, remaja boleh mula untuk belajar membahagikan masa sedikit untuk mengetahui perkara tentang isu-isu semasa dan juga untuk membaca buku demi ilmu pengetahuan. Keseimbangan ini boleh dilaksanakan dengan bimbingan ibu dan bapa yang lebih tua dan berpengalaman. Untuk membahagikan masa bersosial dan juga masa untuk diri sendiri khususnya membaca untuk masa hadapan yang lebih baik.

Isi 5 – Membaca hanya untuk pelajaran tetapi bukan sebagai hobi atau minat

Punca lain remaja tidak minat untuk membaca pada hari ini adalah kerana amalan membaca hanya dilakukan untuk pelajaran tetapi bukan sebagai hobi atau minat. Dengan gaya hidup masyarakat pada hari ini, golongan remaja meluangkan masa membaca bahan-bahan berkaitan akademik mereka sahaja. Norma ini telah menyekutukan amalan membaca dengan tujuan pelajaran dan bukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai hobi.

Justeru, setiap pihak memainkan peranan untuk membuka mata dan minda golongan remaja bahawa amalan membaca menjanjikan banyak manfaat. Masa lapang yang terluang jika dipenuhi dengan bacaan buku-buku yang bermanfaat pastinya memberikan nilai kepada golongan remaja yang memerlukan bimbingan dan panduan hidup. Melalui pembacaan juga remaja boleh mendalami perkara yang diminati daripada sudut pandang golongan pakar atau yang berpengalaman kerana mereka lazimnya menjadi penulis buku.

Isi 6 – Pengaruh televisyen dan media sosial

Akhir sekali, minat membaca dalam kalangan remaja semakin berkurangan dari semasa ke semasa kerana pengaruh televisyen dan media sosial. Kehadiran televisyen pintar yang kini menjadi gajet utama di dalam sesebuah rumah telah memberikan satu impak yang kurang baik kepada remaja. Ibu dan bapa membelinya untuk tujuan berehat sambil berhibur. Tetapi golongan remaja masa kini akan menghabiskan masa menonton kandungan-kandungan di Internet yang sia-sia.

Akses televisyen kepada internet telah membuka ruang untuk remaja menonton pelbagai kandungan dari seluruh pelusuk dunia. Perkara ini perlu dikawal oleh ibu, bapa dan ahli keluarga dan menetapkan masa penggunaan sesuatu gajet beserta hadnya. Bukan sahaja membuang masa tetapi boleh memudaratkan kesihatan fizikal dan mental jika selalu menonton televisyen. Natijahnya, pengaruh kandungan di televisyen dan media sosial juga memainkan peranan dalam kurangnya minat membaca dalam golongan remaja masa kini.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak punca yang mendorong remaja untuk tidak minat membaca lagi. Amalan yang tidak boleh dipaksa ini perlu dipupuk atau disemai dengan kaedah yang betul. Supaya ia tidak dibenci atau tidak disukai oleh golongan remaja. Membaca adalah jambatan ilmu. Jika kita tidak membaca, kita tidak akan mendapat ilmu tersebut dengan kefahaman yang lengkap. Semoga setiap di antara kita pada hari ini mengamalkan membaca di kawasan dan waktu yang sesuai. Agar menjadi teladan yang baik kepada generasi muda nusa bangsa. Usaha ini akan membantu kerajaan untuk melahirkan warganegara yang berminda kelas pertama. Dan membawa tanah air kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

Rel : rakan sebaya, melentur buluh biarlah, pihak sekolah, memupuk minat membaca,

Tinggalkan Balasan