Penulisan karangan Bahasa Melayu merupakan satu pentaksiran yang menguji pengetahuan dan penguasaan bahasa para pelajar. Calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seharusnya mempunyai perbendaharaan kata yang pelbagai dan cakna terhadap isu semasa. Sebagai rujukan untuk menjawab soalan yang berkaitan, berikut dikongsikan contoh karangan Langkah Mengatasi Banjir Kilat (Cara Menangani).
Banjir kilat dan banjir biasa berbeza kerana kejadian banjir kilat lebih cepat berlaku dan berbahaya. Lazimnya kawasan bandar mempunyai risiko menghadapi banjir kilat yang boleh melumpuhkan jaringan lalu lintas dan menyebabkan kehidupan terganggu. Pembangunan yang rancak berlaku di kawasan bandar menjadikan banjir kilat boleh berlaku pada bila-bila masa. Hal ini kerana keadaan cuaca yang tidak menentu serta jumlah hujan yang turun semakin lebat dari tahun ke tahun.
Contoh Karangan Cara Menangani Banjir Kilat (Langkah Mengatasi)
Rujuk contoh karangan seperti di bawah. Anda juga boleh membuat latihan tambahan berdasarkan isi-isi penting yang diberikan dan menghuraikannya dengan olahan yang lebih menarik.
Pendahuluan
Banjir kilat merupakan satu fenomena yang sering melanda negara kita terutamanya di kawasan bandar. Begitu juga dengan kawasan rendah yang tidak mempunyai sistem perparitan yang baik. Fenomena ini boleh berlaku apabila hujan lebat melanda dalam masa yang singkat, menyebabkan air bertakung dan melimpah ke kawasan rendah. Lebih-lebih lagi apabila masuk musim hujan pada hujung dan awal tahun.
Akibatnya, banyak kawasan terjejas dengan kerosakan harta benda seperti kereta dan motorsikal yang tersekat di kawasan tempat letak kereta bawah tanah. Malah jika banjir kilat ini berlaku dengan teruk, ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa, dan gangguan kepada kehidupan harian masyarakat. Oleh itu, langkah-langkah untuk mengatasi banjir kilat perlu diambil dengan segera supaya kesejahteraan masyarakat dapat dijamin.
Isi 1 – Merangka perancangan pembangunan yang lestari
Langkah pertama adalah kerajaan perlu merangka perancangan pembangunan bandar yang lebih sistematik dan lestari untuk mengatasi masalah banjir kilat. Ketika membina kawasan perumahan baharu atau membangunkan bandar, pihak pemaju dan kerajaan tempatan harus mengambil kira aspek perparitan dan aliran air. Kawasan hijau seperti taman dan hutan bandar juga perlu dikekalkan atau diwujudkan. Hal ini kerana kawasan sebegini mampu menyerap air hujan dan mengurangkan risiko berlakunya banjir.
Selain itu, perancangan bandar yang berkesan juga perlu mengambil kira lokasi perumahan dan bangunan yang terletak di kawasan rendah atau berhampiran dengan sungai. Pihak berkuasa juga boleh menguatkuasakan undang-undang yang ketat terhadap pemaju yang tidak mematuhi peraturan perancangan bandar. Intihannya, jika perancangan yang teliti dan lestari diamalkan oleh semua pihak, banjir kilat dan bencana alam yang lain pasti dapat dielakkan.
Isi 2 – Memperbaiki dan meningkatkan sistem perparitan
Kaedah lain yang paling penting dalam menangani banjir kilat ialah memperbaiki dan meningkatkan sistem perparitan di kawasan bandar dan kawasan yang berisiko tinggi. Sistem perparitan yang ada pada masa kini sering kali tidak mampu menampung jumlah air hujan yang banyak dalam jangka masa yang singkat. Perparitan yang sempit dan tersumbat adalah antara punca utama berlakunya banjir kilat.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu memastikan perparitan dibina dengan lebih besar dan berupaya menampung aliran air yang lebih banyak. Penyelenggaraan perparitan seperti membersihkan sampah dan sisa binaan yang menyekat aliran air juga perlu dilakukan secara berkala. Hal ini supaya kita dapat memastikan air hujan dapat dialirkan dengan lancar ke sungai atau laut tanpa menakung di jalan-jalan atau kawasan perumahan.
Isi 3 – Mengenakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pembalakan haram
Pihak berkuasa juga boleh mengenakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pembalakan haram dan pembukaan hutan tanpa kebenaran. Aktiviti pembalakan haram menyebabkan hutan kehilangan fungsi asalnya sebagai kawasan tadahan air. Apabila hutan ditebang secara tidak terkawal, tanah tidak lagi mampu menyerap air hujan dengan baik, dan ini menyebabkan aliran air hujan terus ke kawasan rendah seperti sungai atau bandar.
Kesannya, air hujan melimpah dengan lebih cepat dan seterusnya menyebabkan banjir kilat. Contohnya, banjir kilat yang kerap berlaku di Cameron Highland dan Janda Baik, Pahang hanya kerana banyak penebangan pokok di kawasan yang lebih tinggi. Justeru, undang-undang yang lebih ketat perlu dikuatkuasakan bagi mengawal pembalakan haram dan memastikan pembangunan tanah dilakukan dengan lebih berhemah dan mesra alam.
Isi 4 – Memperkenalkan teknologi terkini
Seterusnya, langkah yang boleh diambil adalah dengan memperkenalkan teknologi terkini untuk mengatasi masalah banjir kilat. Salah satu teknologi yang semakin mendapat perhatian adalah penggunaan kolam takungan bawah tanah atau “smart tunnel”. Teknologi ini dapat menampung aliran air yang banyak ketika hujan lebat dan seterusnya mengalirkan air tersebut secara beransur-ansur ke sungai atau laut apabila hujan berhenti.
Teknologi ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko banjir kilat, malah turut membantu mengekalkan jalan raya daripada ditenggelami air. Teknologi ramalan cuaca juga perlu dipertingkatkan agar masyarakat dan pihak berkuasa dapat mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal sebelum hujan lebat turun. Selaras dengan sistem amaran banjir kilat yang boleh digunakan melalui aplikasi telefon pintar dimana hampir setiap orang dewasa memilikinya. Natijahnya, penggunaan teknologi dalam mengatasi banjir kilat wajar dilaksanakan.
Isi 5 – Kempen kesedaran menjaga kebersihan persekitaran dalam kalangan masyarakat
Di samping itu, kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran perlu dijalankan secara meluas. Banjir kilat sering kali berlaku akibat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang membuang sampah ke dalam longkang atau sungai. Sampah sarap ini menyumbat aliran air dan menyebabkan perparitan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Oleh itu, masyarakat perlu dididik tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan persekitaran mereka, terutamanya di kawasan perumahan. Pihak berkuasa tempatan juga perlu menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk memastikan tiada pihak yang tidak bertanggungjawab mencemarkan perparitan dan sungai dengan sampah sarap.
Isi 6 – Pendidikan mengenai langkah-langkah keselamatan semasa banjir kilat
Akhir sekali, pendidikan mengenai langkah-langkah keselamatan semasa banjir kilat juga perlu diperluaskan kepada masyarakat, terutamanya di kawasan-kawasan yang sering terdedah kepada banjir kilat. Pendidikan ini penting bagi memastikan masyarakat dapat bertindak dengan pantas dan selamat apabila banjir berlaku. Bukan hanya menunggu arahan daripada pihak berkuasa yang tidak cukup tangan untuk membantu semua mangsa.
Mereka perlu tahu cara-cara untuk menyelamatkan diri, harta benda, serta bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak berkuasa semasa berlakunya banjir kilat. Pihak sekolah juga boleh memperkenalkan modul pendidikan mengenai kesedaran bencana alam supaya generasi muda lebih bersedia dan berpengetahuan dalam menghadapi bencana alam seperti banjir kilat. Intihannya, pendidikan mengenai keselamatan berdepan banjir kilat penting dalam memastikan masyarakat kita sedar akan bahaya bencana alam
Penutup
Secara keseluruhannya, masalah banjir kilat memerlukan tindakan menyeluruh daripada semua pihak untuk ditangani dengan berkesan. Segala ketamakan dan tanggungjawab yang diendahkan oleh pihak sebelum ini kita biarkan dan berusaha untuk menyelesaikan apa yang kita mampu. Masyrakat pada hari ini yang lebih cakna dan terbuka perlu berganding bahu mencari konklusi kepada isu yang membelenggu mangsa-mangsa banjir. Hanya dengan kerjasama antara semua pihak, masalah banjir kilat yang sering melanda negara kita dapat diatasi. Kehidupan masyarakat akan dapat berjalan dengan lebih lancar tanpa gangguan daripada bencana ini. Semoga kebersamaan kita dalam perpaduan yang terjalin menjadi tunjang dalam membina masa depan yang lebih baik untuk masyarakat kini dan masa hadapan.
Rel : kuala lumpur, langkah untuk, mangsa banjir,