Antara tema yang mencabar para pelajar dalam memilih soalan untuk dijawab di kertas peperikaan atau pentaksiran penulisan Bahasa Melayu adalah tema berkaitan fakta. Ia akan menjadi mudah jika anda mengetahui fakta yang akan dihuraikan dengan tepat dan menjawab soalan tetapi jika fakta salah, penulisan karangan anda berisiko untuk mendapat markah yang tidak cemerlang. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan bertajuk Kesan Buruk Pengambilan Makanan Segera.
Makanan segera adalah makanan seperti burger, mee segera, nuget, dan jajan yang mudah didapati di kedai runcit dan pasar raya. Penghasilan produk ini adalah disebabkan sektor perindustrian dan komersial yang semakin berkembang dan bermotifkan keuntungan dan bukannya kesihatan terhadap manusia. Oleh sebab yang demikian, para pelajar perlu mengetahui kesan-kesan daripada makanan segera jika dimakan secara kerap.
Contoh Karangan Kesan Buruk Pengambilan Makanan Segera
Anda boleh merujuk contoh karangan Impak Negatif atau Kesan Pengambilan Makanan Ringan atau “Fast Food” yang dihuraikan mengikut struktur lengkap karangan Bahasa Melayu merangkumi pendahuluan, isi-isi penting dan penutup. Terdapat dua isi penting tambahan sebagai idea yang boleh digunakan pelajar untuk menjawab karangan yang berkaitan.
Pendahuluan
Mendepani era globalisasi dan modenisasi pada hari ini, makanan segera telah menjadi pilihan utama bagi ramai orang, terutama sekali golongan muda. Kesibukan harian serta kemudahan yang ditawarkan oleh restoran makanan segera menjadikan makanan ini lebih mudah diperolehi berbanding makanan yang dimasak di rumah.
Walaupun makanan segera menawarkan keselesaan dan kemudahan, namun ia mempunyai pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan individu. Bak kata pepatah, indah khabar daripada rupa. Oleh itu, penting untuk semua lapisan ahli masyarakat mengetahui kesan-kesan buruk pengambilan makanan segera demi kemaslahatan bersama.
Isi 1 – Mengganggu selera makan
Pertama sekali, pengambilan makanan segera boleh mengganggu selera makan seseorang. Ini kerana makanan segera lazimnya mengandungi kandungan garam, gula dan lemak yang tinggi. Kandungan ini boleh menyebabkan ketagihan dan selera makan menjadi tidak terkawal. Mereka yang sering makan makanan segera mungkin akan hilang selera terhadap makanan yang lebih sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Tambahan pula, makanan segera mengandungi bahan pengawet dan pewarna tiruan yang boleh menyebabkan rasa kenyang sekejap sahaja tetapi tidak memberikan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh. Akibatnya, selera makan yang seimbang akan terganggu, dan ini membawa kepada tabiat pemakanan yang tidak sihat.
Isi 2 – Menyebabkan masalah obesiti
Tabiat menikmati makanan segera juga menyebabkan masalah obesiti. Pengambilan makanan segera secara kerap menyumbang kepada pertambahan kalori yang berlebihan dalam tubuh. Sebagai contoh, burger, kentang goreng, dan minuman bergas yang sering dihidangkan di restoran makanan segera mengandungi kalori yang sangat tinggi.
Apabila kalori yang diambil tidak digunakan sepenuhnya oleh badan, ia akan disimpan sebagai lemak, menyebabkan berat badan meningkat. Obesiti pula boleh membawa kepada pelbagai penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, dan penyakit jantung. Statistik juga menunjukkan bahawa masalah obesiti di kalangan remaja semakin meningkat, dan ini merupakan satu ancaman serius kepada kesihatan masyarakat pada masa hadapan.
Isi 3 – Membantutkan pertumbuhan kanak-kanak
Seterusnya, makanan segera juga boleh membantutkan pertumbuhan kanak-kanak. Nutrisi yang tidak mencukupi dalam makanan segera seperti protein, vitamin, dan mineral penting boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah pertumbuhan. Kanak-kanak memerlukan nutrisi yang seimbang untuk perkembangan otak, tulang, dan otot-otot mereka.
Makanan segera yang selalunya tinggi dengan gula dan lemak tepu tidak menyediakan nutrisi yang diperlukan untuk perkembangan tubuh badan yang sihat. Akibatnya, kanak-kanak yang terlalu banyak makan makanan segera berisiko mengalami masalah kesihatan seperti pertumbuhan yang lambat dan kekurangan tenaga untuk melakukan aktiviti harian.
Isi 4 – Menyebabkan masalah jantung
Pada masa yang sama, pengambilan makanan segera secara berlebihan juga dikaitkan dengan masalah jantung. Hal ini kerana makanan segera sering mengandungi kadar kolesterol yang tinggi. Ia boleh menyebabkan saluran darah tersumbat dan meningkatkan risiko penyakit jantung. Lemak tepu dan lemak trans dalam makanan segera seperti daging proses dan kentang goreng boleh menyebabkan paras kolesterol jahat (LDL) meningkat dan kolesterol baik (HDL) menurun.
Jantung yang terpaksa bekerja lebih keras untuk mengepam darah akibat daripada penyempitan saluran darah boleh menyebabkan serangan jantung atau strok. Justeru, penting untuk kita mengurangkan pengambilan makanan segera demi menjaga kesihatan jantung. Persis kata mutiara, lebih baik mencegah daripada merawat kerana merawat penyakit berkaitan jantung melibatkan kos dan masa yang tinggi.
Isi 5 – Melembapkan fizikal dan mental
Di samping itu, pengambilan makanan segera yang kerap juga boleh melembapkan fizikal dan mental seseorang. Makanan segera tidak mengandungi nutrien penting yang diperlukan oleh otak untuk berfungsi dengan baik. Karbohidrat ringkas dan gula yang tinggi dalam makanan segera pula boleh menyebabkan paras gula dalam darah turun naik dengan cepat. Secara tidak langsung, pemakanan makanan segera ini boleh menyebabkan kita mudah rasa lesu dan keletihan.
Otak kita memerlukan asid lemak omega-3, vitamin dan mineral untuk berfungsi dengan optimal, dan semua ini tidak terdapat dalam makanan segera. Akibatnya, individu yang kerap makan makanan segera mungkin akan mengalami masalah tumpuan, keletihan mental, dan kurang produktiviti.
Isi 6 – Menyumbang kepada penyakit kronik
Akhir sekali, pengambilan makanan segera juga boleh menyumbang kepada penyakit kronik lain seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, dan penyakit hati berlemak. Kandungan gula yang tinggi dalam minuman bergas dan pencuci mulut yang dihidangkan di restoran makanan segera boleh meningkatkan risiko penyakit kencing manis, terutamanya di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Selain itu, makanan segera yang tinggi dengan garam boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, yang boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang lebih serius seperti kegagalan buah pinggang. Pengambilan makanan segera yang berterusan dalam jangka masa panjang juga boleh menyebabkan masalah hati berlemak, yang boleh membawa kepada penyakit hati yang kronik.
Penutup
Kesimpulannya, pengambilan makanan segera boleh memberi kesan buruk yang serius kepada kesihatan fizikal dan mental individu. Walaupun makanan segera menawarkan kemudahan dan kelazatan, namun kesan jangka panjangnya tidak boleh diabaikan. Oleh itu, adalah penting untuk kita mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan mengurangkan pengambilan makanan segera dan menggantikan dengan makanan yang lebih berkhasiat. Ibarat pepetah Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Hanya dengan cara ini kita dapat menjaga kesihatan diri dan mengelakkan daripada terjerumus ke dalam pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan makanan segera.
Rel : menindih aktiviti peptida otak, kadar gula, pendapatan sesal kemudian tiada guna, untuk menghuraikannya, keburukan makanan, menjadi punca utama, mengambil makanan, buahan dan sayur sayuran,