Cara-Cara Mengatasi Masalah Disiplin Pelajar

Antara tema yang gemar untuk diberikan di dalam peperiksaan atau pentaksiran sekolah adalah tema berkaitan para pelajar. Tema ini memberikan peluang untuk pelajar menjawab soalan yang diberikan dengan idea atau isi-isi penting yang berkaitan dengan diri atau pengalaman pelajar sendiri. Di bawah dikongsikan Contoh Karangan Cara-Cara Mengatasi Masalah Disiplin Pelajar sebagai panduan untuk semua.

Disiplin dari segi definisi bermaksud latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri dan patuh pada tatatertib. Jelas bahawa pelajar perlu berdisiplin untuk membentuk sahsiah diri yang terbaik sebelum melangkah ke alam kedewasaan. Kelak, disiplin yang baik akan menjadi tunjang dalam kehidupan pelajar yang menentukan bagaimana anda menjalankan sesuatu tugasan atau tanggungjawab yang diberikan. Maka, penting untuk pihak sekolah terutamanya memupuk semanagt disiplin dalam diri pelajar untuk meningkatkan kekuatan jati diri masing-masing.

Contoh Karangan Cara Cara Mengatasi Masalah Disiplin Pelajar

Contoh Karangan Cara-Cara Mengatasi Masalah Disiplin Pelajar

Berikut dikongsikan contoh karangan berkaitan langkah menangani Masalah Disiplin Pelajar. Anda boleh merujuk huraian yang dibuat berdasarkan rangka atau struktur karangan yang mempunyai pendahuluan, isi-isi penting dan penutup berkenaan tajuk yang diberikan.

Pendahuluan

Masalah disiplin dalam kalangan pelajar adalah satu isu yang sering dibincangkan dalam media elektronik dan media cetak. Polemik yang membelenggu masyarakat kita ini boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik para pelajar kerana mereka telah terpengaruh dengan anasir negatif yang tidak sihat untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin juga akan menghadapi suasana pembelajaran yang tidak kondusif untuk diri mereka.

Akhirnya, isu ini akan merencatkan perkembangan sahsiah para pelajar untuk menjadi modal insan yang terbaik demi keluarga, masyarakat dan negara. Setiap pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini secara berganding bahu. Tetapi, peranan institusi pendidikan seperti pihak sekolah adalah signifikan dalam menyelesaikan masalah ini. Oleh itu, penting untuk kita mencari jalan penyelesaian dan langkah menangani Masalah Disiplin Pelajar supaya masyarakat yang berminda kelas pertama dapat diwujudkan.

Isi 1 – Mewujudkan Peraturan dan Prosedur yang Jelas

Langkah utama untuk memastikan sifar masalah disiplin pelajar di sekolah adalah dengan mewujudkan peraturan sekolah yang jelas dan prosedur yang tegas jika mereka melanggar peraturan yang ditetapkan. Pihak sekolah seharus mempunyai buku panduan disiplin yang jelas dan komprehensif sebagai peringatan kepada pelajar. Buku panduan ini perlu menyenaraikan semua peraturan, prosedur, dan tindakan disiplin yang akan diambil sekiranya  berlaku pelanggaran oleh para pelajar. Ia juga harus menyertakan hak dan tanggungjawab pelajar.

Guru dan semua kakitangan sekolah termasuk pekerja kantin dan pemandu bas atau van sekolah boleh memainkan peranan untuk memastikan semua pelajar memahami peraturan dan prosedur disiplin yang ditetapkan.Tindakan ini boleh dilakukan melalui sesi orientasi bagi pelajar baharu, sewaktu perhimpunan sekolah berlangsung, dan semasa kelas pendidikan moral atau pendidikan sivik. Pelajar perlu didedahkan kepada kesan atau akibat yang akan dihadapi jika mereka melanggar peraturan sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

Isi 2 – Mewujudkan Persekitaran Pembelajaran yang Positif

Kaedah seterusnya adalah pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif untuk semua pelajar. Menyediakan bilik darjah yang kemas dan teratur, serta memastikan suasana yang tenang dan selesa untuk belajar adalah objektif utama yang perlu diberi perhatian semua pihak. Lebih-lebih lagi bagi pelajar di kawasan pedalaman atau kampung yang terpaksa bersekolah di dalam infrastruktur yang dhaif dan menyukarkan mereka untuk belajar dengan selesa.

Selain itu, pihak sekolah juga wajar untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan tingkah laku yang baik. Langkah ini adalah salah satu cara yang efektif untuk menggalakkan disiplin yang positif dalam kalangan pelajar. Anugerah pelajar contoh, sijil penghargaan, dan pujian secara lisan boleh membantu meningkatkan motivasi pelajar untuk berkelakuan baik di sekolah dan juga di dunia luar.

Isi 3 – Menyediakan Program Bimbingan dan Kaunseling

Dalam masa yang sama, pihak sekolah perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling yang berkualiti untuk para pelajar. Kaunselor yang dilantik di setiap sekolah seharusnya membantu pelajar yang menghadapi masalah disiplin dengan memberikan bimbingan dan sokongan emosi. Golongan ini mungkin mempunyai masalah keluarga atau masalah lain yang berkaitan dan menyebabkan mereka untuk melanggar disiplin di sekolah. 

Pihak sekolah boleh menyediakan program pembangunan sahsiah untuk membantu pelajar dalam mengembangkan nilai-nilai murni dan tingkah laku yang baik dalam diri mereka. Aktiviti seperti ceramah motivasi, kursus kepimpinan, dan program kemasyarakatan boleh dimasukkan dalam kurikulum sekolah untuk meningkatkan tahap kesedaran pelajar terhadap kepentingan berdisiplin. Program Mentor-Mentee juga adalah salah satu kaedah dalam memberikan bimbingan atau kaunseling yang berkesan untuk pelajar khususnya dalam menjaga disiplin di sekolah.

Isi 4 – Menyediakan Aktiviti Kokurikulum yang Menarik

Dari satu sudut pandang yang lain, lazimnya pelajar yang terlibat dalam aktiviti kokurikulum cenderung untuk menunjukkan disiplin yang lebih baik berbanding rakan-rakan lain. Penyertaan pelajar dalam aktiviti seperti sukan, kelab, persatuan, dan program kesenian. Ianya dapat membantu dalam membentuk sahsiah pelajar dan meningkatkan kerjasama antara rakan serta disiplin diri. Selaras dengan disiplin yang perlu dipatuhi di dalam setiap aktiviti kokurikulum, mereka pastinya mudah untuk mengikuti peraturan disiplin di sekolah. 

Melalui aktiviti kokurikulum di sekolah juga, ia dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk memegang jawatan kepimpinan dalam sesebuah kelab atau persatuan. Pendedahan ini  boleh membantu pelajar untuk mengembangkan kemahiran pengurusan dan sentiasa berdisiplin diri di dalam aktiviti yang disertai. Pemimpin pelajar yang baik boleh menjadi contoh yang positif kepada rakan-rakan mereka.

Isi 5 – Melibatkan Ibu Bapa dan Komuniti

Masalah disiplin dalam kalangan pelajar juga boleh diatasi dengan melibatkan ibu, bapa dan komuniti setempat. Pihak sekolah boleh menganjurkan program kesedaran pada hari terbuka sekolah misalnya untuk melibatkan ibu, bapa dan komuniti setempat ini. Penganjuran majlis gotong royong perdana adalah salah satu aktiviti yang boleh memupuk pelajar untuk mengikut disiplin yang ditetapkan. Mereka perlu menyelesaikan tugasan membersih mengikut arahan yang diberikan.

Lawatan sambil belajar ke ibu pejabat polis, penjara atau kem tentera juga merupakan satu aktiviti bagi pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Apabila mereka diberi peluang melihat bagaimana penjenayah diberi layanan dan juga disiplin oleh anggota polis atau tentera, nescaya ia dapat memebrikan kesedaran untuk mereka menjaga disiplin yang dianggap remeh sebelum ini.

Isi 6 – Menyediakan Kelas Tambahan dan Tuisyen

Kaedah lain untuk membendung masalah disiplin dalam kalangan pelajar adalah dengan menyediakan kelas tambahan atau tuisyen bagi mereka yang memerlukan. Sebahagian daripada pelajar yang mempunyai masalah disiplin kerana mereka tidak dapat memberikan perhatian di dalam kelas. Dan terlepas daripada pengajaran guru. Situasi ini berlaku kerana jumlah pelajar dan guru tidak seimbang kerana guru tidak dapat untuk memberikan perhatian kepada semua pelajar di dalam kelas.

Oleh sebab itu, alternatif seperti kelas tambahan wajar ditawarkan sama ada oleh pihak sekolah atau pihak luar. Dengan kredibiliti yang betul, pelajar yang mengikuti kelas tambahan dapat memberi perhatian. Dan mula cemerlang dalam mana-mana mata pelajaran yang mereka lemah sebelum ini. Apabila mereka berjaya untuk memahami apa yang dipelajari. Pastinya masalah disiplin menjadi perkara kedua atau ketiga apabila mereka hadir ke sekolah kerana proses pembelajaran menjadi seronok untuk mereka fahami.

Penutup

Konklusinya, cara mengatasi masalah disiplin pelajar adalah cabaran yang perlu diatasi dengan kerjasama semua pihak. Institusi pendidikan seperti sekolah hanya mempunyai guru-guru untuk mendidik jumlah pelajar yang lebih ramai. Dan tidak mampu untuk memberikan sepenuh perhatian kepada semua pelajar. Ibu dan bapa sebaliknya juga bertanggungjawab membentuk disiplin pelajar di rumah. Kerana masa yang diluangkan bersama keluarga lebih banyak daripada di sekolah. 

Pelajar yang mempunyai disiplin yang baik bukan sahaja akan berjaya dalam akademik tetapi juga dalam kehidupan masing-masing. Mereka akan menjadi individu yang bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, usaha untuk mengatasi masalah disiplin pelajar perlu diteruskan. Dan ditingkatkan demi masa depan diri, keluarga, masyarakat dan juga negara yang lebih gemilang.

Rel : didikan agama, langkah mengatasi, anak anak, kasih sayang, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media, perlu mengenal, ibu bapa perlu,

Tinggalkan Balasan