Menurut data yang dikongsikan oleh pihak berkuasa, dari tahun 2015 hingga ke 2019, jumlah gelendangan di Malaysia mencecah seramai 14,000 orang. Golongan gelendangan yang mencemari landskap pemandangan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Georgetown ini perlu diselesaikan. Justeru, berikut dikongsikan contoh karangan bertajuk Langkah Mengatasi Masalah Gelandangan untuk panduan semua.
Salah satu isu yang membelenggu bandar-bandar besar di seluruh dunia bukan sahaja di Malaysia adalah masalah gelandangan yang boleh digambarkan sebagai “seseorang tanpa kerja tetap yang merayau dari tempat ke tempat dan hidup dengan mengemis”. Kemiskinan bandar merupakan satu perkara yang semakin membarah di negara ini dan pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini. Sebagai pelajar, kita boleh berbincang dan memberi cadangan terbaik kepada mereka yang terlibat untuk menyelesaikan isu gelandangan dan membina masyarakat bertaraf kelas pertama.
Contoh Karangan Langkah Mengatasi Masalah Gelandangan
Anda boleh merujuk contoh karangan Bahasa Melayu lengkap berkaitan Cara Menangani Masalah Pengemis seperti di bawah. Terdapat juga dua isi penting tambahan yang boleh digunakan pelajar untuk menjawab soalan atau tajuk karangan lain yang berkaitan.
Pendahuluan
Masalah gelandangan merupakan satu isu masyarakat yang semakin meruncing, khususnya di kawasan bandar-bandar besar di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Pulau Pinang. Golongan gelandangan ini adalah individu yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap, tidur di jalanan, dan bergantung kepada bantuan orang ramai atau badan kebajikan untuk meneruskan kehidupan harian.
Faktor utama yang menyebabkan kewujudan masalah ini adalah kemiskinan tegar, pengangguran, tekanan hidup, dan kegagalan dalam institusi keluarga. Jika tidak ditangani dengan betul, masalah gelandangan bukan sahaja memberi kesan negatif kepada individu terbabit, malah kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil untuk menangani masalah ini dan memberikan peluang hidup yang lebih baik kepada golongan gelandangan.
Isi 1 – Pengukuhan dasar ekonomi negara
Langkah pertama yang boleh diambil untuk mengatasi masalah gelandangan adalah melalui pengukuhan dasar ekonomi negara. Salah satu punca utama berlakunya gelandangan adalah kemiskinan dan pengangguran. Oleh itu, kerajaan perlu memperkenalkan dasar ekonomi yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi bagi golongan berpendapatan rendah. Peluang pekerjaan perlu ditingkatkan, terutamanya dalam sektor-sektor yang mudah diakses oleh golongan gelandangan seperti sektor perkhidmatan, pembuatan, dan pertanian.
Selain itu, program-program latihan vokasional dan kemahiran perlu diperbanyakkan bagi membolehkan golongan gelandangan yang berpotensi untuk meningkatkan kemahiran mereka dan seterusnya mendapatkan pekerjaan yang tetap. Langkah ini dapat membantu mereka mendapatkan pendapatan tetap serta keluar daripada kitaran kemiskinan yang membelenggu kehidupan mereka.
Isi 2 – Pembinaan pusat perlindungan gelandangan
Pembinaan pusat perlindungan gelandangan yang lebih sistematik dan menyeluruh juga merupakan langkah penting dalam menangani masalah ini. Pada masa kini, terdapat beberapa pusat perlindungan gelandangan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun bilangan dan kapasiti pusat-pusat ini tidak mencukupi untuk menampung semua gelandangan yang memerlukan bantuan.
Oleh itu, kerajaan perlu bekerjasama dengan NGO dan pihak swasta untuk menambah lebih banyak pusat perlindungan yang dapat memberikan tempat tinggal sementara, makanan, dan rawatan kesihatan kepada gelandangan. Pusat perlindungan ini juga boleh berfungsi sebagai pusat pemulihan di mana gelandangan boleh diberi kaunseling, pendidikan, serta latihan kemahiran untuk membina kehidupan baru yang lebih baik.
Isi 3 – Pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai isu gelandangan
Di samping itu, pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai isu gelandangan perlu ditingkatkan. Ramai di antara kita yang kurang peka terhadap isu gelandangan dan menganggap golongan ini sebagai beban kepada masyarakat. Sikap prejudis dan stigma ini perlu diubah agar masyarakat lebih bersikap terbuka dan prihatin terhadap nasib golongan gelandangan.
Kempen kesedaran awam boleh diadakan untuk memberi penerangan tentang punca-punca gelandangan dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu golongan ini. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat akan lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh gelandangan dan seterusnya terlibat secara aktif dalam usaha membantu mereka keluar dari keadaan tersebut. Sikap prihatin dan toleransi ini penting bagi mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan saling membantu.
Isi 4 – Memperbaiki sistem sokongan masyarakat
Langkah seterusnya adalah dengan memperbaiki sistem sokongan masyarakat yang sedia ada. Golongan gelandangan seringkali terpinggir daripada mendapat akses kepada perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan, dan bantuan kebajikan. Oleh itu, pihak kerajaan perlu memastikan bahawa golongan ini diberi akses yang sama rata kepada perkhidmatan-perkhidmatan ini.
Sebagai contoh, pihak berkuasa boleh memperkenalkan kad identiti khas untuk gelandangan yang membolehkan mereka mendapat bantuan perubatan percuma, tempat tinggal sementara, dan bantuan makanan. Selain itu, skim-skim kebajikan seperti zakat perlu disalurkan secara lebih menyeluruh dan berkesan kepada golongan gelandangan yang layak. Dengan adanya sokongan masyarakat yang baik, gelandangan tidak akan merasa terpinggir dan akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk keluar daripada situasi yang sukar ini.
Isi 5 – Kerjasama pihak kerajaan, swasta dan NGO
Selain daripada itu, kerjasama antara pihak kerajaan, NGO, dan pihak swasta adalah sangat penting dalam usaha mengatasi masalah gelandangan. Masalah ini tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan usaha bersama daripada semua lapisan masyarakat. Kerajaan perlu menyediakan dasar dan garis panduan yang jelas, manakala NGO dan pihak swasta boleh memainkan peranan dalam menyediakan bantuan kewangan, logistik, dan kepakaran dalam menangani masalah gelandangan.
Tamsilnya, syarikat-syarikat besar boleh menyumbang dengan menyediakan program-program tanggungjawab korporat (CSR) yang memberi peluang pekerjaan atau latihan kepada gelandangan. NGO pula boleh berperanan dalam memberi khidmat kaunseling dan membantu gelandangan mendapatkan tempat tinggal sementara. Melalui kerjasama yang erat ini, usaha untuk mengatasi masalah gelandangan akan menjadi lebih berkesan.
Isi 6 – Pencegahan di peringkat awal
Akhir sekali, langkah pencegahan awal perlu diberi perhatian bagi mengurangkan jumlah gelandangan di masa hadapan. Masalah gelandangan sering kali berpunca daripada ketidakstabilan institusi keluarga, kemiskinan, dan masalah kemasyarakatan seperti penyalahgunaan dadah. Oleh itu, usaha pencegahan perlu bermula dari peringkat keluarga lagi dengan memberi perhatian kepada kebajikan dan kesejahteraan setiap anggota keluarga.
Selain itu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan yang mendorong kepada berlakunya masalah gelandangan. Iaitu seperti penyalahgunaan dadah dan keganasan rumah tangga. Program-program pemulihan dadah dan kaunseling keluarga perlu diperluaskan untuk memastikan masalah-masalah ini dapat ditangani dengan lebih awal, sebelum ia menyebabkan individu terjerumus ke dalam kancah gelandangan.
Penutup
Kesimpulannya, masalah gelandangan merupakan isu yang kompleks dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk diatasi. Langkah pencegahan awal perlu diberi perhatian untuk mengelakkan lebih ramai individu menjadi gelandangan pada masa hadapan. Lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup meningkat dari hari ke hari. Maka, kepentingan untuk memilih pemimpin negara yang berkualiti dapat kita sedari agar setiap ahli masyarakat berpeluang untuk menikmati kehidupan yang terbaik. Sesungguhnya, setiap individu berhak untuk hidup dalam keadaan yang selesa dan bermaruah, dan usaha untuk membantu golongan gelandangan mencapai kehidupan yang lebih baik adalah tanggungjawab kita semua.
Rel : menjadi gelandangan kerana mereka tidak mempunyai, jabatan kebajikan masyarakat, kementerian serta jabatan
program pemulihan, undang undang, ahli keluarga, bandar besar, untuk mendapatkan, kementerian pembangunan wanita keluarga dan masyarakat kpwkm, penagihan dadah, pusat jagaan,