Langkah Mencegah Budaya Merokok Dalam Masyarakat

Para pelajar yang akan menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu lazimnya akan memilih tajuk atau soalan yang mudah. Antara tema atau tajuk yang mudah untuk dihuraikan adalah bertemakan kesihatan awam. Perkara ini selalunya berkait dengan kehidupan pelajar maka isi-isi penting yang berkenaan dapat diberikan beserta huraian yang tepat dan jelas. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan contoh karangan yang bertajuk Langkah Mencegah Budaya Merokok Dalam Masyarakat.

Merokok merupakan antara budaya yang tidak sihat dan sukar untuk diatasi oleh ahli masyarakat kita. Rantaian perokok yang diwarisi daripada bapa kepada anak-anak seharusnya diputuskan melalui kaedah yang berkesan. Tekanan sosial untuk merokok juga tidak lagi relevan kerana setiap individu mampu untuk berketrampilan tinggi dalam kerjaya masing-masing. Demi kemaslahatan bersama, penting untuk kita utarakan cadangan untuk mencegah budaya merokok dalam kalangan masyarakat di Malaysia secara amnya.

Contoh Karangan Langkah Mencegah Budaya Merokok Dalam Masyarakat

Contoh Karangan Langkah Mencegah Budaya Merokok Dalam Masyarakat

Anda boleh merujuk contoh karangan yang bertajuk: Cara Mengatasi Budaya Merokok Dalam Masyarakat di bawah. Pastikan anda menulis karangan masing-masing mengikut format penulisan yang betul seperti jumlah isi-isi penting dan dimulai dengan perenggan pendahuluan serta diakhiri dengan perenggan penutup

Pendahuluan

Pada tahun 2022, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa sejumlah RM6.2 bilion telah dibelanjakan untuk merawat pesakit merokok di hospital awam. Kenyataan ini menunjukkan bahawa budaya merokok yang terdapat dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini amat merugikan bukan sahaja sumber wang negara tetapi juga ruang kesihatan untuk pesakit lain. Jika dibandingkan dengan jumlah kutipan produk tembakau pada 2020, kutipan tersebut hanya berjumlah RM3 billion.

Budaya yang membarah ini seharusnya diberhentikan kerana memudaratkan kesihatan dan merugikan fasiliti kesihatan umum. Malahan imej merokok tidak sepadan dengan visi negara untuk mencapai objektif perubahan iklim dan kelestarian alam kerana penghasilan rokok melibatkan kayu-kayan yang ditebang daripada pokok-pokok di dalam hutan. Justeru, mustahak untuk kita berusaha ke arah membendung budaya merokok di dalam ahli masyarakat kita. Mari kita senaraikan langkah-langkah mencegah budaya merokok dalam masyarakat untuk pengetahuan semua.

Isi 1 – Penguatkuasaan undang-undang

Pertama sekali, langkah mencegah budaya merokok dalam masyarakat adalah dengan menguatkuasakan undang-undang. Dengan akta serta undang-undang yang telah ditetapkan di dalam Dewan Negara, pihak berkuasa seharusnya bertindak lebih tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan yang melibatkan rokok. Sebagai contoh, pada tahun 2019, penekanan terhadap larangan merokok di restoran berjaya dilaksanakan dan meningkatkan kesedaran terhadap larangan yang telah ditetapkan.

Apabila perokok dihadkan tempat untuk mereka merokok khususnya di kawasan awam, secara tidak langsung ia akan mengurangkan jumlah perokok yang mudah kelihatan sebelum ini. Orang awam tidak melihat perokok merokok secara langsung di depan mata maka pengaruhnya juga akan berkurangan. Mereka yang menjual rokok juga seharusnya lebih bertanggungjawab untuk menjual kepada pelanggan yang layak sahaja. Denda dan kompaun oleh pihak berkuasa perlu ditambah jumlahnya agar peniaga lebih berhati-hati dan tidak sambil lewa menjual produk tembakau kepada remeja misalnya.

Isi 2 – Memperkenalkan akta kawalan merokok

Selain itu, budaya merokok boleh dicegah dengan memperkenalkan akta kawalan merokok. Industri rokok pada hari ini telah dikejutkan dengan perkembangan rokok elektrik atau lebih dikenali sebagai “vape”. Kehadiran rokok elektrik pada hari ini sebenarnya telah mengundang satu budaya yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat kita terutamanya anak-anak muda. Kelopongan undang-undang dalam perkara ini menjejaskan lagi usaha untuk mengurangkan jumlah perokok di negara kita ini.

Terdapat usaha oleh penggubal undang-undang negara untuk memperkenalkan Generasi Penamat produk tembakau di mana larangan merokok ditetapkan kepada mereka yang lahir selepas tahun 2007. Namun begitu, usha tersebut gagal dilaksanakan disebabkan pengaruh penjualan produk tembakau yang memberikan hasil kepada negara. Intihannya, pihak berkuasa perlu mencari jalan agar masalah merokok dalam kalangan masyarakat dikurangkan dari hari ke hari.

Isi 3 – Menjalankan kempen kesedaran

Langkah seterusnya adalah dengan melaksanakan kempen kesedaran yang berkesan kepada masyarakat umum. Sehingga hari ini, kita masih boleh melihat adengan merokok di dalam drama atau filem tempatan. Penerbit drama, filem atau iklan perlu bertanggungjawab  bersama-sama pelakon untuk tidak melibatkan adengan merokok di dalam karya masing-masing. Hal ini kerana mereka merupakan selebriti yang dilihat dan diikuti oleh masyarakat am.

Pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi perlu berganding bahu bersama dalam melaksanakan kempen tentang bahaya merokok kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia. Inisiatif seperti pesanan khidmat masyarakat dan kempen daripada pempengaruh media sosial mampu untuk memberikan impak dalam mengurangkan budaya merokok. Visual yang menunjukkan bahaya rokok kurang berkesan ketika ini tetapi jika terdapat visual tentang jumlah perbelanjaan ke atas produk tembakau jika dibandingkan dengan barangan lain yang lebih bermanfaat mungkin akan membuka mata masyarakat yang terdesak dalam suasan ekonomi hari ini.

Isi 4 – Menggalakkan amalan gaya hidup sihat

Budaya merokok dalam kalangan masyarakat kita juga boleh dicegah dengan menggalakkan amalan gaya hidup yang sihat. Sejak di bangku sekolah kita telah didedahkan dengan pendidikan jasmani yang mengajar untuk kita menjaga kecergasan dan kesihatan diri serta mental. Sekiranya budaya bersukan dan bersenam berjaya disemat dalam diri anak-anak muda, aktiviti seperti merokok yang menjejaskan kesihatan dan kecergasan diri pasti dapat dielakkan.

Kecaknaan dalam risiko yang dibawa bersama asap rokok dalam kalangan mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat akan membantu mengurangkan jumlah perokok dalam negara ini. Misalnya jika seseorang individu berasa tertekan dengan kerjaya atau pelajaran. Mereka memilih untuk bersukan atau bersenam sebagai cara untuk melepaskan tekanan tersebut. Secara saintifiknya, aktiviti bersenam dan bersukan akan membantu melepaskan endorfin yang membuatkan diri kita lebih bahagia berbanding menghisap rokok.

Isi 5 – Menyediakan bantuan kepada perokok yang ingin berhenti

Akhir sekali, setiap pihak seharusnya menyediakan bantuan kepada perokok yang berniat untuk meninggalkan budaya tersebut denagn kaedah yang betul. Umum mengetahui bahawa perokok sukar untuk meninggalkan budaya tersebut kerana ketagihan nikotin yang terkandung di dalam rokok-rokok. Oleh yang demikian, perokok perlu memberitahu orang terdekat seperti ahli keluarga atau rakan-rakan tentang niat untuk berhenti merokok kerana sokongan daripada mereka pastinya meningkatkan motivasi untuk berhenti.

Anda boleh bermula dengan menggantikan rokok kepada gantian nikotin seperti gula-gula atau sedutan nikotin. Kemudian diikuti dengan penetapan tarikh untuk berhenti supaya usaha ini terdapat tempoh yang perlu dipatuhi. Perkara yang paling utama adalah untuk mengubah tabiat perokok sebelum ini. Contohnya, merokok selepas makan digantikan dengan mengunyah buah-buahan atau mengunyah gula-gula. Ikhtiar ini jelas menunjukkan bahawa budaya merokok dalam kalangan masyarakat kita boleh dikekang demi manfaat bersama.

Penutup

Konklusinya, terdapat banyak langkah mencegah budaya merokok dalam masyarakat yang boleh dilaksanakan. Sebelum budaya ini menjadi lebih parah, lebih baik untuk kita mencegah daripada merawat. Semua pihak perlu berganding bahu meluaskan horizon pemikiran untuk merangka pelan terbaik. Ianya supaya merokok tidak lagi menjadi budaya dalam kalanagn masyarakat kita. Ledakan rokok elektronik juga perlu dikawal selia oleh pihak berkuasa kerana risiko terhadap anak muda yang suka mencuba perkara baru tanpa memikirkan kesannya. Setiap di antara kita sedar bahawa kesihatan adalah kekayaan sebenar kerana tanapa kesihatan yang baik, kita tidak mampu untuk melakukan apa-apa di dalam kehidupan dunia yang sementara ini. Semoga segala usaha dan inisiatif untuk membendung tabiat merokok disokong tanpa sebarang prejudis agar generasi akan datang lebih menghargai kesihatan berbanding menanggung kesakitan.

Rel : rakan sebaya, memberi kesedaran,

Tinggalkan Balasan