Menjelang musim peperiksaan atau pentaksiran sekolah, pelajar akan menggunakan pelbagai teknik belajar untuk mengulangkaji setiap topik yang dipelajari di sekolah. Usaha untuk mendapat keputusan yang cemerlang bagi setiap mata pelajaran akan menjadi satu pengalaman pelajar untuk mencapai sebuah kejayaan yang bermakna. Selaras dengan itu, berikut dikongsikan contoh karangan Cara-Cara Menjadi Pelajar Cemerlang Dalam Pelajaran untuk rujukan semua.
Masyarakat umum perlu sedar bahawa untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang tidak mustahil tetapi tidak semua orang mampu mengecapi kejayaan tersebut. Para pelajar perlu didedahkan kepada teknik-teknik pembelajaran yang sesuai dengan diri mereka supaya mereka dapat memahami apa yang dipelajari. Pucuk pangkalnya institusi pendidikan seperti sekolah bukan sahaja bermatlamat untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang tetapi juga pelajar yang mempunyai modal insan yang berguna untuk keluarga, masyarakat dan negara masa kini dan hadapan.
Contoh Karangan Cara-Cara Menjadi Pelajar Cemerlang Dalam Pelajaran
Di bawah dikongsikan contoh karangan langkah-langkah memperoleh kecemerlangan akademik beserta isi-isi penting yang sesuai dengan tema karangan tersebut.
Anda boleh merujuk contoh dan mengolahkan idea yang dikongsikan dengan penulisan karangan yang lebih menarik sebagai latihan tambahan di rumah.
Pendahuluan
Ibu dan bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah pastinya mempunyai harapan untuk melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran. Sesungguhnya pendidikan merupakan pintu utama untuk berjaya di dalam kerjaya pada masa hadapan. Maka, setiap pelajar pasti menanam azam untuk mencapai kejayaan khususnya dalam pelajaran masing-masing demi ibu dan bapa serta masa hadapan yang terbaik untuk diri sendiri.
Peribahasa Melayu ada berkata, tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat dituruni. Perumpamaan ini jelas menunjukkan bahawa setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mengecapi kejayaan dalam pelajaran. Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang menghalang kejayaan tersebut. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan cara untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran supaya setiap pelajar mengetahui formula kejayaan terbaik untuk diri masing-masing.
Isi 1 – Mengetahui gaya atau kaedah belajar anda
Pertama sekali, setiap pelajar perlu mengetahui gaya dan kaedah pembelajaran yang sesuai dengan diri sendiri. Sebagai contoh, terdapat pelajar yang hanya perlu memberikan perhatian di dalam kelas dan mampu memahami apa yang dipelajari. Tetapi ada pelajar yang perlu melakukan latihan tambahan di luar bilik darjah untuk memahami dan menguasai sesuatu topik yang dipelajari di dalam bilik darjah.
Matlamat adalah pendorong utama untuk mencapai kejayaan. Para pelajar harus menetapkan matlamat jangka pendek seperti menyiapkan tugasan pada masa yang ditetapkan. Matlamat jangka panjang pula melibatkan pencapaian akademik seperti memperoleh anugerah pelajar cemerlang atau melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan matlamat dan teknik pembelajaran yang sesuai, para pelajar mampu untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Isi 2 – Merancang masa dan menyusun jadual pelajaran
Langkah seterusnya untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran adalah dengan merancang jadual belajar yang sistematik dan konsisten. Para pelajar perlu tahu membahagikan masa untuk setiap subjek dan pastikan anda mengikuti jadual tersebut. Dengan adanya jadual yang teratur, pelajar dapat memastikan semua mata pelajaran mendapat perhatian yang sewajarnya.Pada masa yang sama, sikap suka bertangguh adalah musuh utama kejayaan. Pelajar perlu mengelakkan menunda-nunda tugasan dan kerja sekolah.
Sebaliknya, selesaikan tugasan secepat mungkin untuk mengelakkan tekanan di saat-saat akhir. Tamsilnya, teknik Pomodoro adalah teknik pengurusan masa yang melibatkan sesi belajar selama 25 minit diikuti dengan rehat singkat selama 5 minit. Setelah empat sesi, pelajar akan berehat untuk tempoh masa yang lebih panjang, sekitar 15 hingga 30 minit. Teknik ini dapat meningkatkan fokus dan produktiviti semasa belajar. Persis kata peribahasa bahawa masa itu emas. Intihannya, pengurusan masa mustahak dalam menentukan kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik.
Isi 3 – Belajar secara berkumpulan
Kaedah pembelajaran secara berkumpulan juga dapat membantu pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran. Salah satu kaedahnya adalah apabila pelajar berkongsi ilmu dengan rakan-rakan. Pembelajaran secara berkumpulan boleh meningkatkan pemahaman pelajar terhadap sesuatu topik. Hal ini kerana, perbincangan bersama rakan-rakan akan membuka perspektif baru dan membantu anda melihat sesuatu isu dari sudut yang berbeza. Perkongsian teknik pembelajaran yang berbeza juga akan membantu para pelajar.
Tambahan pula, pembelajaran secara aktif yang melibatkan interaksi aktif dengan bahan pembelajaran. Contohnya, anda mengajar orang lain, mengambil bahagian dalam perbincangan kumpulan, atau menjawab soalan-soalan latihan. Situasi ini dapat membantu anda memahami dan mengingati maklumat dengan lebih baik dalam masa yang sama meningkatkan kemahiran komunikasi antara satu sama lain. Natijahnya, masa untuk belajar secara berkumpulan menyumbang kepada usaha untuk cemerlang dalam pelajaran para pelajar.
Isi 4 – Menumpukan perhatian di dalam kelas
Akhir sekali, pelajar perlu menumpukan perhatian di dalam kelas untuk mencapai kecemerlangan. Anda seharusnya tidak takut untuk bertanya kepada guru jika anda menghadapi masalah dalam mengulang kaji pelajaran. Guru adalah sumber ilmu yang berharga dan mereka sentiasa bersedia untuk membantu anda. Justeru, penting untuk pihak berkaitan menyediakan bilik darjah yang kondusif untuk para pelajar supaya mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya di sekolah.
Pelajar juga digalakkan untuk hadir ke kelas tambahan atau sesi ulangkaji yang dianjurkan oleh guru-guru. Kelas tambahan ini dapat meningkatkan daya memori pelajar dan terbuka kepada pelbagai jenis soalan yang akan diberikan dalam pentaksiran atau peperiksaan. Jelas bahawa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas adalah satu bentuk pelajaran yang perlu diberi perhatian kerana dua pihak iaitu guru dan pelajar boleh berinteraksi untuk memahami diantara satu sama lain. Sekaligus meningkatkan peluang pelajar untuk berjaya dengan cemerlang di dalam pelajaran masing-masing.
Isi 5 – Menjaga disiplin diri dan aktif dalam menjaga kesihatan diri
Isi 6 – Menghormati ibu, bapa dan guru-guru
Penutup
Kesimpulan daripada perbincangan di atas, cara-cara menjadi pelajar cemerlang dalam pelajaran memerlukan usaha, disiplin, dan kesungguhan yang tinggi. Pasti ada di antara kita yang mempunyai perasaan untuk putus asa apabila menghadapi kesukaran ketika belajar. Oleh sebab yang demikian, penting untuk semua pihak daripada keluarga, guru dan juga masyarakat untuk menyokong dan memberi ruang kepada pelajar masa kini untuk mencapai kecemerlangan dalam kaedah yang mereka selesa.
Menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran adalah impian setiap individu supaya mencapai kejayaan dalam kehidupan. Cita-cita untuk mempunyai kehidupan yang baik pada masa hadapan menjadi motivasi kepada pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran. Pelajar yang cemerlang bukan sahaja berjaya dalam akademik tetapi juga dalam pembangunan sahsiah dan kemahiran sosial. Nilai-nilai ini dibentuk daripada keadaan sekeliling pelajar yang mempengaruhi mereka untuk berketrampilan tinggi seterusnya akan membentuk negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Rel : tugasan yang diberikan, mempunyai masalah, pelajar perlu mempunyai, menyediakan jadual,