Punca Kesesakan Lalu Lintas (Jalan Raya)

Sebelum menjejak usia dewasa, setiap individu mempunyai impian untuk memiliki kenderaan sendiri. Lebih-lebih lagi bagi golongan lelaki yang meminati bidang permotoran. Namun, kita telah mempunyai satu masalah iaitu kesesakan jalan raya yang sering berlaku khususnya ketika musim perayaan atau cuti. Adakah dasar kerajaan yang menggalakkan pemilikan kenderaan persendirian masih lagi relevan masa ini? Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan Punca Kesesakan Lalu Lintas untuk rujukan semua.

Antara masalah negara-negara membangun seperti Malaysia adalah kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama. Negara lain seperti Indonesia dan India yang mempunyai jumlah antara penduduk tertinggi di dunia menghadapi masalah pada skala yang lebih teruk. Sebagai masyarakat berminda kelas pertama, kita perlu membincangkan punca berlakukan kesesakakan lalu lintas supaya solusi terbaik dapat direncanakan di seluruh negara. Bukan sahaja di kawasan Lembah Klang yang banyak menerima pengangkutan awam berbanding negeri-negeri lain.

Contoh Karangan Punca Kesesakan Lalu Lintas

Contoh Karangan Punca Kesesakan Lalu Lintas

Ikuti perkongsian contoh karangan bertajuk Punca Kesesakan Jalan Raya (trafik) seperti di bawah. Anda boleh merujuk isi-isi penting yang dikongsikan dan cuba menulis karangan yang lebih menarik. Penggunaan peribahasa dan penanda wacana serta frasa-frasa menarik yang sesuai boleh membantu menjadikan karangan pelajar mendapat markah cemerlang.

Pendahuluan

Kesesakan lalu lintas merupakan masalah yang sering dihadapi oleh penduduk di bandar-bandar besar terutamanya di Malaysia. Setiap hari, ratusan ribu kenderaan memenuhi jalan raya, terutama sekali pada waktu puncak seperti pagi dan petang ketika orang ramai pergi dan pulang dari tempat kerja.

Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan pengguna jalan raya, malah menyebabkan masa yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain terbuang begitu sahaja. Ia memerlukan perhatian serius daripada pihak berkuasa serta kerjasama daripada semua pihak untuk mengurangkan kesan buruk yang dibawanya. Sebagai pelajar, mari kita bincangkan punca kesesakan jalan raya supaya solusi yang terbaik dapat dirancang dan dilaksanakan dengan berkesan.

Isi 1 – Peningkatan jumlah kenderaan persendirian

Salah satu punca utama berlakunya kesesakan lalu lintas adalah peningkatan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya. Rakyat Malaysia kini lebih cenderung untuk memiliki kenderaan sendiri berbanding menggunakan pengangkutan awam. Fenomena ini terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk status sosial, keselesaan dan kebebasan yang ditawarkan oleh kenderaan persendirian.

Walaupun memiliki kenderaan sendiri memberi kesenangan, ia juga memberi tekanan kepada kapasiti jalan raya yang semakin tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang bertambah setiap hari. Akibatnya, berlaku kesesakan terutama di kawasan bandar yang padat seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Sekiranya ruang jalan raya yang terhad, pertambahan kenderaan tidak dapat dielakkan daripada menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Isi 2 – Kekurangan penggunaan pengangkutan awam

Selain itu, kekurangan penggunaan pengangkutan awam juga merupakan salah satu punca kesesakan trafik yang serius. Walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan pengangkutan awam seperti bas, komuter, LRT, dan MRT ramai rakyat masih kurang yakin dengan kecekapan sistem pengangkutan ini. Antara sebabnya ialah jadual pengangkutan awam yang tidak menepati masa, keadaan pengangkutan yang kurang selesa, serta liputan yang tidak meluas di kawasan luar bandar.

Pengguna jalan raya lebih gemar memandu kenderaan sendiri kerana mereka beranggapan ia lebih efisien dan mudah, meskipun mereka terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas. Jika sistem pengangkutan awam dapat diperbaiki dan diperluaskan, mungkin lebih ramai rakyat Malaysia akan beralih ke pengangkutan awam, sekaligus mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

Isi 3 – Pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya yang tidak mencukupi

Seterusnya, pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya yang tidak mencukupi juga menyumbang kepada masalah kesesakan lalu lintas. Walaupun terdapat usaha untuk meningkatkan jaringan jalan raya di negara kita, pembangunan ini masih tidak setanding dengan pertambahan kenderaan yang berlaku dengan pesat. Malah, proses pembinaan atau penyelenggaraan jalan raya yang tidak disusun dengan baik sering menyebabkan penutupan lorong atau jalan yang mengakibatkan kesesakan bertambah parah.

Jalan yang berlubang, tidak rata, atau rosak juga boleh menyebabkan pemanduan menjadi lebih perlahan, sekaligus memperlahankan aliran trafik. Bagi memastikan jalan raya mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat, pihak berkuasa perlu memastikan perancangan yang lebih teliti.  Dalam pembangunan infrastruktur jalan raya, terutamanya di kawasan yang sering mengalami kesesakan hendaklah diberi tumpuan.

Isi 4 – Sikap pemandu yang tidak berdisiplin

Di samping itu, kesesakan lalu lintas juga boleh berpunca daripada sikap pemandu yang tidak berdisiplin. Mutakhir ini, kita sering kali melihat pemandu yang melanggar peraturan lalu lintas seperti memotong barisan, memandu laju di lorong kecemasan, dan tidak memberikan isyarat ketika hendak membelok. Sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain, malah turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.

Contohnya, apabila berlaku kemalangan akibat kecuaian pemandu, laluan trafik akan terganggu dan menyebabkan kesesakan yang teruk. Oleh itu, pendidikan mengenai pentingya disiplin dalam pemanduan perlu diterapkan kepada semua pengguna jalan raya. Tindakan tegas kepada pelaku salah di jalan raya juga wajar agar kesesakan yang disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab ini dapat dielakkan.

Isi 5 – Pertumbuhan kawasan perumahan tanpa perancangan lalu lintas yang efisien 

Pertumbuhan pesat bandar dan kawasan perumahan tanpa perancangan lalu lintas yang efisien juga antara faktor kesesakan lalu lintas semakin bertambah buruk. Pembangunan bandar yang pesat sering kali tidak diiringi dengan perancangan infrastruktur yang baik. Jalan raya yang dibina tidak mampu menampung pertambahan penduduk dan kenderaan yang mendadak dalam kawasan tersebut.

Kawasan perumahan baharu pula sering kali dibina berdekatan dengan jalan utama, tetapi jalan-jalan tersebut tidak dinaik taraf untuk menampung jumlah penduduk yang meningkat. Akibatnya, jalan raya menjadi sesak, terutamanya pada waktu puncak. Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan bahawa setiap projek pembangunan baru termasuk kawasan perumahan dirancang dengan mengambil kira aspek lalu lintas dan kapasiti jalan raya yang mencukupi.

Isi 6 – Cuaca buruk

Akhir sekali, cuaca buruk seperti hujan lebat dan banjir kilat boleh menjadi sebab berlakunya kesesakan lalu lintas. Apabila hujan lebat melanda, jalan raya sering kali menjadi licin dan penglihatan pemandu terganggu. Ini menyebabkan pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan mereka, sekaligus memperlahankan aliran trafik. Selain itu, hujan lebat juga sering kali menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah, yang mana air bertakung di jalan raya sehingga menutup laluan kenderaan.

Apabila ini berlaku, jalan raya menjadi tidak boleh dilalui dan pengguna jalan raya terpaksa mencari laluan alternatif yang sering kali lebih sesak. Bagi mengurangkan kesan cuaca buruk terhadap lalu lintas, sistem perparitan yang lebih baik perlu dibina untuk memastikan air hujan dapat dialirkan dengan cepat dan berkesan. Penyelenggaraan jalan raya yang baik dan berkala juga perlu sekaligus mengelakkan berlakunya banjir kilat.

Penutup

Secara keseluruhannya, masalah kesesakan lalu lintas berpunca daripada pelbagai faktor. Bagi menangani masalah ini, kerjasama antara pihak berkuasa, masyarakat, dan semua pengguna jalan raya adalah sangat penting. Pihak berkuasa perlu memastikan bahawa perancangan pembangunan infrastruktur jalan raya dilakukan dengan lebih teliti, manakala masyarakat pula perlu mengubah sikap dan menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap. Dengan langkah-langkah yang betul, masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, sekaligus memudahkan pergerakan semua pihak di jalan raya. Persis kata mutiara, pandu cermat, jiwa selamat.

Rel : perkhidmatan pengangkutan awam, semata mata, menyelesaikan masalah kesesakan, menggunakan kenderaan di atas jalan raya,

Tinggalkan Balasan