Apabila menduduki peperiksaan atau pentaksiran, para pelajar diberikan pilihan soalan untuk dijawab dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Pilihan yang betul perlu dilakukan oleh pelajar supaya mudah untuk menjawab soalan dan mendapat markah yang cemerlang. Salah satu pilihan lazimnya menyentuh tema berkenaan isu semasa seperti contoh karangan bertajuk Langkah Mengatasi Rasuah Dalam Kalangan Masyarakat yang dikongsikan di bawah.
Antara isu semasa yang menjadi sering menjadi topik perbualan masyarakat di Malaysia pada hari ini adalah berkenaan isu rasuah. Sejak beberapa tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bergiat aktif untuk menangkap mereka yang terlibat dengan kes rasuah dan dihadapkan ke muka pengadilan di mahkamah. Polemik ini kerana amalan rasuah sebelum ini telah menjadi satu budaya yang melemahkan institusi seperti kerajaan dan sebagainya. Oleh sebab itu, pelajar seharusnya mengetahui isu semasa ini dan mengambil iktibar daripada apa yang dipelajari.
Contoh Karangan Langkah Mengatasi Rasuah Dalam Kalangan Masyarakat
Perkongsian berkaitan contoh karangan : Cara Menangani Amalan Rasuah Dalam Kalangan Masyarakat boleh dirujuk di bawah. Pelajar boleh membaca dan cuba untuk menulis karangan sendiri dengan huraian, isi-isi penting dan peribahasa yang lebih menarik sebagai latihan tambahan masing-masing.
Pendahuluan
Rasuah merupakan penyakit masyarakat yang merosakkan nilai-nilai murni, menggugat kestabilan ekonomi, dan menjejaskan kepercayaan terhadap institusi serta kepimpinan negara. Kesan rasuah ini bukan sahaja dirasai oleh individu, tetapi juga menjejaskan pembangunan negara secara keseluruhan. Oleh itu, usaha membanteras rasuah memerlukan kerjasama semua pihak dari pelbagai peringkat masyarakat.
Negara kita dan juga negara di dalam lingkungan Asia Tenggara sering kali terpalit dengan isu rasuah yang membelenggu masyarakat. Ketamakan untuk menyediakan rasuah demi mendapat kepentingan diri yang lebih banyak hanya akan merugikan pihak lain yang tidak mendapat manfaat tersebut. Justeru, mustahak untuk kita sebagai warganegara berminda kelas pertama mengetahui dan melaksanakan Langkah-Langkah Mengatasi Rasuah Dalam Kalangan Masyarakat pada hari ini.
Isi 1 – Menghukum pesalah rasuah dengan tegas dan wajar
Menghukum pesalah rasuah dengan tegas dan wajar merupakan langkah penting untuk mengatasi masalah ini. Hukuman yang dikenakan kepada pesalah rasuah mestilah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, agar menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak terjerumus dalam kegiatan yang sama. Dalam hal ini, peranan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat penting dalam memastikan pesalah rasuah dikenakan tindakan yang sewajarnya tanpa mengira pangkat atau kedudukan mereka.
Contohnya, pesalah rasuah yang terdiri daripada golongan atasan atau berkedudukan tinggi tidak boleh diberikan keistimewaan atau dikecualikan daripada hukuman hanya kerana status mereka. Kekayaan harta yang mengaburi intergriti akan memusnahkan maruah dan darjat sesebuah bangsa hanya kerana kepentingan diri dan bukan orang kebanyakan. Tindakan yang tegas ini boleh menimbulkan rasa takut dan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjauhi amalan rasuah.
Isi 2 – Melaksanakan undang-undang tanpa prejudis
Di samping itu, melaksanakan undang-undang tanpa prejudis juga merupakan langkah penting dalam membanteras rasuah. Undang-undang yang adil dan saksama harus dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama, pangkat, atau kekayaan seseorang. Prinsip ini penting untuk memastikan bahawa semua individu, tidak kira latar belakang mereka, berhadapan dengan sistem keadilan yang sama.
Dengan melaksanakan undang-undang tanpa prejudis, kepercayaan masyarakat terhadap integriti sistem perundangan dapat diperkukuhkan, sekali gus mengurangkan kecenderungan individu untuk terlibat dalam rasuah. Tambahan pula, pelaksanaan undang-undang yang adil dapat menghindari rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat yang boleh menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap kerajaan dan institusi-institusi awam. Intihannya, pelaksanaan undang-undang yang adil membantu usaha mengatasi rasuah dalam kalangan masyarakat kita.
Isi 3 – Mendidik masyarakat tentang keburukan rasuah
Seterusnya, mendidik masyarakat tentang keburukan rasuah adalah langkah yang tidak kurang pentingnya. Pendidikan adalah kunci utama dalam membentuk pemikiran dan sikap seseorang individu. Oleh itu, penerapan nilai-nilai integriti dan kejujuran perlu dimulakan sejak dari bangku sekolah lagi. Program pendidikan yang menekankan keburukan rasuah dan kesan negatifnya terhadap pembangunan negara harus dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam masa yang sama, kempen-kempen kesedaran yang berterusan di media massa, media social, dan dalam komuniti juga perlu diperhebatkan. Pendedahan yang mencukupi tentang bahaya rasuah akan membantu masyarakat untuk lebih berhati-hati dan lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan mereka. Pendidikan ini bukan sahaja melibatkan kanak-kanak dan pelajar, tetapi juga golongan dewasa yang mungkin terdedah kepada amalan rasuah di tempat kerja mereka.
Isi 4 – Memastikan gaji yang bermaruah
Langkah lain dalam membanteras rasuah adalah dengan memastikan gaji yang bermaruah untuk masyarakat. Kebanyakan kes rasuah berlaku disebabkan oleh ketidakpuasan hati pekerja terhadap gaji yang tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup. Maka, majikan dan kerajaan perlu memastikan bahawa pekerja diberi gaji yang setimpal dengan kerja yang dilakukan.
Sekiranya ahli masyarakat menperoleh gaji yang mencukupi, pekerja tidak akan merasa terdesak untuk mencari jalan mudah mendapatkan wang melalui rasuah. Kebajikan pekerja juga harus diambil kira untuk memastikan mereka berasa dihargai dan dihormati. Ini termasuklah menyediakan faedah-faedah sampingan seperti insurans kesihatan, cuti berbayar, dan lain-lain yang boleh meningkatkan kualiti hidup mereka. Izharnya, gaji yang bermaruah mustahak dalam membendung masalah rasuah daripada berlaku.
Isi 5 – Melaksanakan dasar yang telus dan akauntabiliti
Selanjutnya, melaksanakan dasar yang telus dan akauntabiliti adalah langkah penting untuk memastikan bahawa setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa adalah terbuka dan boleh dipertanggungjawabkan. Dasar yang telus membolehkan masyarakat menilai dan memahami bagaimana sesuatu keputusan dibuat dan memastikan bahawa tiada pihak yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Akauntabiliti pula bermaksud bahawa setiap individu atau organisasi yang terlibat dalam proses membuat keputusan mesti bersedia untuk bertanggungjawab terhadap tindakan mereka. Dengan adanya dasar yang telus dan akauntabiliti, peluang untuk berlaku amalan rasuah dapat dikurangkan kerana setiap tindakan akan dipantau dan dinilai oleh pihak yang berkenaan serta masyarakat. Amalan ini wajar dipraktikkan oleh setiap organisasi dan institusi kerana ia merupakan amalan yang betul dan menguntungkan semua pihak.
Isi 6 – Memberi ganjaran kepada pemberi maklumat
Akhir sekali, memberi ganjaran kepada pemberi maklumat juga merupakan satu langkah yang efektif dalam membanteras rasuah. Pemberi maklumat, atau lebih dikenali sebagai “whistleblower” adalah individu yang berani melaporkan kesalahan rasuah yang mereka ketahui. Oleh itu, mereka perlu dilindungi dan diberi ganjaran yang setimpal dengan risiko yang mereka ambil.
Ganjaran ini bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga perlindungan undang-undang dan sokongan moral. Dengan adanya ganjaran ini, lebih ramai individu akan terdorong untuk melaporkan kes-kes rasuah tanpa takut akan ancaman atau balas dendam daripada pihak yang terlibat. Perkara ini akan mewujudkan persekitaran yang lebih terbuka dan telus, di mana amalan rasuah dapat dikesan dan ditangani dengan lebih berkesan.
Penutup
Kesimpulannya, usaha membanteras rasuah memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, majikan, pekerja, dan masyarakat secara keseluruhan. Mutakhir ini, ahli masyarakat semakin cakna dan tidak akan mudah berkompromi untuk melakukan jenayah rasuah. Segala urusan yang boleh direkod secara digital memudahkan lagi ketelusan dan ketepatan maklumat supaya gejala ini tidak akan membarah lagi dalam masyarakat pada hari ini. Dengan kerjasama semua pihak, kita dapat membina sebuah negara yang bebas daripada rasuah, di mana keadilan, integriti, dan kejujuran menjadi asas dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil. Semoga setiap usaha menangani rasuah disokong dan diutamakan demi kepentingan kita bersama.
Rel : langkah untuk mendapat, rasuah untuk, gejala rasuah di negara, akar umbi,