Antara latihan tambahan yang boleh dilakukan pelajar untuk bersedia menghadapi peperiksaan atau pentaksiran adalah dengan membaca. Pelbagai bahan bacaan seperti nota, contoh soalan serta jawapan boleh didapati secara atas talian. Di bawah dikongsikan contoh karangan Langkah Memupuk Semangat Kejiranan (Usaha) untuk panduan semua.
Selain ahli keluarga dan saudara-mara, jiran tetangga juga merupakan insan yang penting untuk kita hidup dengan sejahtera di muka bumi ini. Lebih-lebih lagi, tanah air kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama hidup secara muhibbah di bawah satu bumbung yang sama sejak mengecapi kemerdekaan. Maka, para pelajar pasti dapat memberikan penulisan karangan yang cemerlang berkaitan dengan tema kejiranan ini.
Contoh Karangan Langkah Memupuk Semangat Kejiranan (Usaha)
Berikut dikongsikan contoh karangan bertajuk Cara Memupuk Semangat Kejiranan. Anda boleh merujuk isi-isi penting yang diberikan dan huraikan dalam penulisan masing-masing sebagai latihan tambahan.
Pendahuluan
Dalam dunia yang serba moden ini, semangat kejiranan semakin hari semakin terhakis. Situasi ini khususnya bagi golongan yang tinggal di kawasan bandar di mana kehidupan semakin sibuk dengan kerjaya masing-masing. Sikap tidak ambil tahu mula menular dalam ahli-ahli masyarakat, dan ramai antara kita sudah tidak mengenali jiran tetangga kita sendiri.
Namun, penting untuk kita memupuk semangat kejiranan kerana ia dapat mempererat hubungan sosial, mewujudkan suasana harmoni, serta memastikan keselamatan kawasan perumahan. Ibarat kata pepatah, bersatu ita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyemai kembali semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.
Isi 1 – Berusaha untuk mengenali jiran
Langkah pertama untuk memupuk semangat kejiranan dalam diri kita adalah berusaha untuk mengenali jiran. Setiap orang yang tinggal di kawasan kejiranan perlu mengambil inisiatif untuk berkenalan dengan jiran mereka, tidak kira latar belakang atau bangsa. Sebagai contoh, apabila ada jiran baru yang berpindah ke kawasan kita, kita boleh mengambil masa untuk memperkenalkan diri dan bertanya khabar.
Melalui perkenalan ini, kita dapat mewujudkan suasana mesra dan membuka ruang untuk saling membantu apabila diperlukan. Kadang-kala, sapaan yang ringkas seperti “Selamat pagi” atau “Apa khabar?” sudah cukup untuk mencetuskan perbualan dan mengeratkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Intihannya, jika kita tidak mengenali jiran tetangga kita, bagaimana semangat kejiranan dapat dihasilkan.
Isi 2 – Menyertai jawatankuasa perjiranan
Selain itu, menyertai jawatankuasa perjiranan juga merupakan salah satu cara yang berkesan untuk memupuk semangat kejiranan. Setiap kawasan perumahan atau taman biasanya mempunyai jawatankuasa perjiranan yang berfungsi untuk menjaga kebajikan dan keselamatan kawasan. Dengan menyertai jawatankuasa ini, kita bukan sahaja dapat mengenali jiran-jiran dengan lebih rapat, tetapi juga turut serta dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan komuniti setempat.
Misalnya, jawatankuasa boleh merancang pelbagai aktiviti yang melibatkan semua penghuni taman seperti sambutan hari raya, majlis kesyukuran, atau program amal. Aktiviti seperti ini akan membuka ruang untuk semua ahli masyarakat bergaul dan menjalinkan hubungan yang lebih akrab. Jelas bahawa menyertai jawatankuasa perjiranan seperti Rukun Tetangga atau persatuan taman perumahan dapat meningkatkan semangat kejiranan.
Isi 3 – Bersukan atau beriadah bersama jiran
Bersukan atau beriadah bersama jiran juga merupakan salah satu cara yang menyeronokkan untuk merapatkan hubungan kejiranan. Aktiviti sukan seperti bermain badminton, bola sepak, atau joging bersama jiran bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan fizikal, tetapi juga dapat mencetuskan suasana mesra dan kerjasama.
Tambahan pula, sukan berpasukan memerlukan kerjasama yang baik antara ahli pasukan, dan ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan antara jiran. Aktiviti riadah lain seperti berjalan-jalan di taman atau berkebun bersama juga boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan mendekatkan lagi hubungan dengan jiran. Pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan lebih banyak ruangan riadah dan infrastruktur sukan di setiap komuniti agar semangat kejiranan boleh dipupuk mellaui kaedah ini.
Isi 4 – Kunjungan semasa hari perayaan
Semangat kejiranan juga boleh dipupuk melalui kunjungan semasa hari perayaan. Hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, dan Krismas adalah waktu yang sangat sesuai untuk kita berkunjung ke rumah jiran. Kunjungan ini bukan sahaja akan mempererat hubungan antara jiran, tetapi juga dapat memupuk perpaduan antara kaum.
Dengan saling berkunjung, kita dapat memahami budaya dan adat resam jiran-jiran yang berlainan bangsa dan agama. Ia juga membuka peluang untuk berkongsi juadah tradisional serta mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam, sekali gus mengukuhkan semangat kejiranan. Jelas amalan seperti anjuran rumah terbuka sempena hari perayaan dapat menyumbang kepada semangat kejiranan.
Isi 5 – Menganjurkan aktiviti gotong-royong
Di samping itu, menganjurkan aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan adalah satu lagi langkah penting dalam memupuk semangat kejiranan. Aktiviti gotong-royong seperti membersihkan taman perumahan, mengecat pagar, atau memperbaiki kemudahan awam boleh menjadi platform untuk semua jiran berkumpul dan bekerjasama.
Apabila semua jiran bekerja bersama-sama, hubungan antara mereka akan menjadi lebih rapat, dan semangat kesepakatan dapat dipupuk. Lebih-lebih lagi, melalui gotong-royong, kita dapat menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan perumahan, yang sekaligus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan selesa untuk semua.
Isi 6 – Memberi bantuan kepada jiran
Akhir sekali, memberi bantuan kepada jiran yang memerlukan juga adalah salah satu cara terbaik untuk memupuk semangat kejiranan. Apabila kita mengetahui jiran menghadapi kesulitan seperti sakit, kehilangan ahli keluarga, atau masalah kewangan, kita boleh tampil membantu mereka. Bantuan yang diberikan tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit, tetapi boleh dalam bentuk sokongan moral atau tenaga.
Sebagai contoh, jika ada jiran yang sakit, kita boleh membantu mereka dengan menghantar makanan atau membantu menguruskan keperluan harian mereka. Tindakan sebegini bukan sahaja menunjukkan sikap prihatin, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan baik antara jiran. Sikap saling tolong-menolong ini yang memberi keharmonian di antara masyarakat kita sejak zaman nenek dan moyang kita walaupun berbeza agama dan kaum.
Penutup
Konklusinya, semangat kejiranan merupakan elemen penting dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Apabila hubungan antara jiran rapat dan harmoni, kita akan merasa lebih selamat dan selesa tinggal di kawasan perumahan, selain dapat menjaga kebajikan dan keselamatan bersama. Sentimen yang memecah belahkan ahli masyarakat pada hari ini hanya bermotifkan politik dan kepentingan sendiri di mana kebanyakannya mudah disangkal oleh masyarakat kita. Semoga semangat kejiranan ini menjadi antara elemen penting kepada tiang perpaduan negara kita yang semakin melangkah ke arah kemajuan yang lebih baik dari tahun ke tahun. Marilah kita semua berusaha untuk memupuk semangat kejiranan agar masyarakat kita kekal harmoni dan bersatu padu.
Rel : membersihkan kawasan, kenal maka tak cinta, bergotong royong, menikmati juadah yang disediakan, belukar melepaskan pucuk, berpeluang untuk, amalan ziarah menziarahi, untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat, kasih sayang, hormat menghormati, disediakan oleh tuan rumah, hari raya aidilfitri tahun, mengeratkan hubungan kejiranan,